Wednesday 28 September 2016

Malaysia bersedia hadapi kerugian jika TPP gagal dimeterai

tppa
PETALING JAYA: Dengan kedua-dua calon presiden Amerika Syarikat menentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) melibatkan 12 negara, Malaysia kini berusaha mengurangkan kerugian yang mungkin dialami sekiranya perjanjian itu dibatalkan Washington selepas pilihan raya presiden November ini.

Menurut majalah Forbes, industri minyak sawit Malaysia bakal menerima kesan langsung daripada sebatang keputusan membatalkan TPP.

Malaysia sebelum ini sudah pun mula mengorak langkah menggubal undang-undang bagi memberi laluan kepada TPP walaupun mendapat bantahan pelbagai pihak.

TPP selama ini giat dilobi Presiden Barack Obama bagi memperkasakan pengaruh Amerika dalam berdepan kemaraan China.

Bagaimanapun, calon Republikan Donald Trump dan seterunya Hillary Clinton jelas menentang TPP, dan Kongres perlu memberikan kelulusan terhadap perjanjian itu sebelum tarikh akhir pada Februari tahun depan.

Forbes melaporkan industri minyak sawit Malaysia yang bernilai RM63.2 bilion mendapat faedah daripada TPP, kerana negara pengeluar minyak sawit lain akan dipaksa menggugurkan cukai import, iaitu salah satu syarat keanggotaan TPP.

Tanpa TPP, industri sawit Malaysia perlu terus bersaing sengit dengan Indonesia.

“Semuanya kini di tangan Kongres Amerika,” kata pensyarah pengajian antarabangsa di Universiti Nanyang Singapura, Oh Ei Sun.

Menurutnya, pembatalan TPP akan menyebabkan Malaysia terus merapatkan kerjasama dengan China, kuasa ekonomi serantau yang menjadi sasaran sebenar TPP tajaan Washington itu.

Vietnam turut bakal menerima tempias daripada sebarang kegagalan TPP.

Industri eksportnya seperti kopi, pakaian, perkakas rumah dan barangan elektronik bakal mendapat manfaat di bawah TPP disebabkan tarif import yang lebih rendah.

TPP menerima tentangan hebat badan sivil dan persatuan pengguna di negara ini, yang menganggap penyertaan Malaysia dalam perjanjian itu memudaratkan kedaulatan negara dan hanya menguntungkan ekonomi besar seperti AS.

Pelbagai kumpulan yang membantah TPP juga memberi amaran perjanjian tersebut bakal meningkatkan kos kesihatan di samping memaksa mengubah suai undang-undang yang disesuaikan untuk situasi negara.

Penyokong TPP pula berkata perjanjian itu bakal memberikan kesan positif seperti nasib hak pekerja yang semakin terbela disebabkan syarat ketat TPP yang memerlukan negara anggota menyeragamkan perundangannya.

- FMT

No comments: