Thursday 29 September 2016

DRB-Hicom mahu selesai lupus kepentingan Proton pertengahan 2017

drb-hicom
SETIA ALAM: Konglomerat DRB-HICOM Bhd berhasrat untuk menyelesaikan langkah pelupusan kepentingan Proton Holdings Bhd menjelang pertengahan tahun depan.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar ketika bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Proton Saga baharu di sini hari ini, berkata kumpulan itu sedang mengkaji cadangan daripada 5 bakal pembeli.

“Kami sedang berada di peringkat memahami cadangan strategik mereka di mana kami akan bermesyuarat dengan mereka untuk berbincang secara lebih mendalam bagi memahami apa yang mereka boleh tawarkan sebelum kami membuat keputusan berapa banyak pegangan yang boleh kami lepaskan.

“Kami berharap untuk mengenal pasti rakan kongsi yang berpotensi menjelang tahun depan dan menyelesaikan langkah-langkah ini sekurang-kurangnya pada pertengahan tahun depan. Bagaimanapun, kami akan berusaha untuk menyimpulkan perjanjian pada suku pertama,” katanya.

Syed Faisal berkata, terdapat 3 kategori utama yang akan diambil kira dalam membuat memilih rakan kongsi iaitu strategik, operasi dan budaya.

“Kami sedang melihat apa yang mereka (bakal pembeli) boleh tawarkan termasuk kesanggupan mereka untuk membangunkan vendor tempatan kami,” katanya.

Syed Faisal, bagaimanapun, berkata DRB-HICOM masih belum memutuskan berapa banyak kepentingan Proton yang akan dijual.

“Kami belum memutuskan sebarang angka. Ia bergantung kepada berapa banyak potensi dalam tawaran berkenaan dan saya dapati ianya adalah terlalu awal untuk membuat keputusan pada masa sekarang kerana kami belum memuktamadkan tawaran tersebut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Datuk Ahmad Fuaad Kenali berkata pembuat kereta nasional itu menyemak semula sasaran jualan untuk Proton Saga yang baharu kepada 5,000 unit sebulan daripada 8,000 unit sebulan.

Pengurangan sasaran itu dibuat berikutan persaingan sengit dalam pasaran kereta sedan.

“Jika kami dapat mencapai sasaran jualan pada sekurang-kurangnya 5,000 unit sebulan, kami jangka pulangan untuk model itu akan berlaku dalam tempoh tiga tahun,” katanya.

Proton Saga baharu datang dalam 3 varian iaitu Standard, Eksekutif dan Premium, dengan harga bermula daripada RM36,800 hingga RM45,800 di Semenanjung Malaysia.

Semua model ini dilengkapi dengan enjin VVT 1.3L, menggantikan enjin IAFM yang digunakan dalam generasi terdahulu.

Teknologi VVT ini mampu meningkatkan prestasi Proton Saga dari segi pecutan dan penggunaan bahan api, kata Fuaad.

- Bernama

No comments: