Wednesday, 28 September 2016

Lebih malu kalau tidak fasih BM, kata Bung

Bung-Moktar_zahid-hamidi
PETALING JAYA: Tidak ada apa hendak dimalukan jika tidak fasih berbahasa Inggeris, namun lebih memalukan sekiranya tinggal di Malaysia tetapi tidak fasih bertutur bahasa kebangsaan, kata Datuk Bung Moktar Radin.
Ahli Majlis Tertinggi Umno itu turut menyelar beberapa pemimpin terutama daripada kalangan DAP yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun lahir di Malaysia.
“Tidak ada yang perlu dimalukan apabila tidak lancar berbahasa Inggeris, sebab Inggeris bukan bahasa kita. Banyak lagi pemimpin hebat dalam dunia tidak tahu bahasa Inggeris tetapi mereka tetap disegani pemimpin lain.
“Yang kita malu ialah kalau duduk dalam negara ini tetapi tidak tahu bahasa Melayu seperti kebanyakan pemimpin DAP dan lain-lain. Nama saja rakyat Malaysia tapi tidak tahu berbahasa kebangsaan ,” katanya.
Beliau berkata demikian susulan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dikritik kerana kesalahan bertutur ketika berucap di sesi Perbahasan Umum ke-71 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, Amerika Syarikat.
Malah, Zahid turut tersilap menyebut Datuk Seri Najib Razak sebagai presiden Malaysia.
Bung yang juga ahli Parlimen Kinabantangan turut menyarankan agar mana-mana pemimpin dalam negara yang tidak fasih berbahasa Melayu mengikuti kursus khas bahasa itu.
“Saya syorkan pemimpin dalam negara ini yang tidak fasih berbahasa Melayu agar mengikuti kursus khas bahasa Melayu jika beranggapan mereka anak Malaysia,” katanya.
Kesilapan Zahid itu turut menarik perhatian Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang memuji keberanian Zahid selain memberi kata-kata dorongan kepada Zahid supaya perbaiki diri.
“Saya pun dulu gagap dan tidak fasih dalam bahasa Inggeris, tetapi Alhamdulillah sekarang saya diberikan mandat untuk mengajar di lebih 25 negara. Buktikan kritikan itu salah.
“Hadirlah ke kelas bahasa Inggeris dan mulakanlah diri untuk terlibat dalam suasana yang bertutur dalam bahasa Inggeris,” kata Syed Saddiq dalam status di Facebook semalam.
- FMT
Post a Comment