Wednesday 21 September 2016

Azmin bertegas tidak bubarkan DUN Selangor

azmin
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali hari ini sekali lagi menolak gesaan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan lebih awal bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan peta pilihan raya baharu.

Selang beberapa jam DAP Selangor secara rasmi mencadangkan pilihan raya negeri mengejut diadakan, Pejabat Menteri Besar bertegas mandat rakyat perlu dihormati.

“Mandat yang disampaikan pengundi kepada kerajaan Selangor pada pilihan raya 2013 mesti dihormati dan tidak boleh diketepikan demi kepentingan politik,” menurut kenyataan dikeluarkan Pengarah Komunikasi Strategik di pejabat Azmin, Yin Shao Loong.

Katanya, usul persempadanan semula seperti diumumkan SPR minggu lalu perlu respon yang seimbang dan jitu bagi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di samping hak demokrasi pengundi.

Mesyuarat tergempar DAP Selangor semalam memutuskan pilihan raya mengejut merupakan jalan terbaik bagi mempertahankan kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS di negeri itu.

Azmin sebelum ini sudah pun menolak cadangan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang supaya kerajaan Selangor mempertimbangkan pilihan raya awal bagi menghalang usaha “mencuri” kemenangan pilihan raya umum akan datang bagi pihak Barisan Nasional (BN).

Cadangan persempadanan semula SPR melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

DAP Selangor menganggarkan 7 kerusi DUN di negeri itu bakal terlepas kepada BN sekiranya usul persempadanan semula kawasan seperti dicadangkan SPR diluluskan.

Ia termasuk Sabak, Hulu Kelang, Sementa, Selat Kelang, Pelabuhan Kelang, Sijangkang and Morib.

BN di Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, dengan hanya menerima 12 kerusi diwakili Umno. PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.

Yin berkata adalah lebih baik untuk bekerjasama dengan Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) dalam melakukan bantahan terhadap usul SPR.

“Demokrasi mesti dipertahankan rakyat. Pengundi perlu menyatakan suara mereka kepada SPR,” kata Yin.

- FMT

No comments: