Friday 23 September 2016

PPBM cadang tubuh BR, gabungan semua parti pembangkang

muhyiddin_bersatu1
SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mahu semua parti pembangkang pada pilihan raya umum akan datang bertanding sebagai satu pakatan, di bawah sepanduk dan logo yang sama.

Naib presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata ini bagi membolehkan pertandingan 1 lawan 1 terhadap BN diadakan, untuk mengelakkan undi pecah dalam kalangan penyokong pembangkang.

Beliau mencadangkan nama baharu pakatan itu sebagai Barisan Rakyat (BR) dan butirannya akan dibincangkan lebih lanjut dalam masa terdekat.

“BR lawan BN. Amat penting untuk kita memastikan 1 lawan 1 terhadap BN.

“Kami boleh mendapatkan semua parti pembangkang di bawah 1 pakatan, sama seperti BN mempunyai 14 parti komponen di bawahnya,” katanya pada sesi dialog di sini, malam tadi.

Bekas menteri besar Kedah itu berkata cadangan itu perlu dilaksanakan kerana keputusan pilihan raya umum terkini membuktikan yang dalam pertandingan 3 penjuru, BN biasanya akan jadi pemenangnya.

Katanya, ini jelas dalam pilihan raya kecil berkembar baru-baru ini di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, di mana kehadiran PAS menyebabkan pembangkang kalah malu kepada BN yang menang dengan majoriti lebih besar.

Mukhriz berkata bagi mengelak kejadian sama berulang pada pilihan raya umum akan datang, pemimpin PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan cuba mendapatkan PAS menyertai misi mereka menumpaskan kerajaan BN yang “rasuah”.

“Bayangkan (dalam pilihan raya), kita ada bendera BN, bendera BR dan tiba-tiba bendera bulan (logo PAS). Sudah tentu jelas mereka tidak bersama kami.

“Tun sendiri sudah cakap, sesiapa yang menyebabkan pertandingan 3 penjuru ialah mereka yang mahu Datuk Seri Najib Razak terus kekal sebagai perdana menteri,” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya PAS akan bekerjasama dalam cadangan pakatan BR, terutama sekarang ada khabar angin menyatakan parti Islam itu sedang bersama dengan Umno secara rahsia, Mukhriz berkata mereka akan tunggu dan lihat.

“Jika ada kawasan tertentu yang Umno elak (bertanding dalam pilihan raya umum) untuk beri laluan kepada PAS, maka kita akan tahu.

“Tetapi kami bercakap dengan PAS sekarang, malah Muhyiddin akan tampil dalam program bersama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak lama lagi,” katanya.

PPBM didaftarkan secara rasmi sebagai parti baharu awal bulan ini. Pembentukan itu dibuat kegagalan usaha menyingkirkan Najib dan kerajaan BN, sejak lebih setahun lalu.

- FMT

No comments: