Friday 23 September 2016

PPBM tak lesu, jumlah mohon jadi ahli ‘meletup’

anina-ppbm
PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menepis dakwaan kononnya parti yang baru diluluskan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), 2 minggu lepas itu tidak mendapat sambutan.

Ketua sayap wanitanya, Anina Saadudin malah berkata PPBM kini sebenarnya sedang rancak menarik seberapa ramai ahli parti di seluruh tanah air dan setakat ini penerimaan rakyat terhadap parti serpihan Umno itu sangat baik.

“Keseluruhan pasukan sukarelawan kami sedang menyelinap masuk di pelosok negara mengumpul keahlian. Permohonan secara online juga sedang ‘meletup’ di alam maya.

“Sayap Srikandi mengorak langkah dan pembentukan unit gerak kerja serta struktur politik sedang rancak berjalan. Kami bekerja siang dan malam 7 hari seminggu. Kami berikan jiwa dan raga tanpa sebarang imbuhan. Kami mahu menang,” katanya kepada FMT.

Tariq Ismail yang juga cucu kepada bekas timbalan perdana menteri, Dr Ismail Abdul Rahman sebagai berkata orang Melayu sudah mula sedar yang Umno sudah tidak boleh dipercayai apabila mereka mula beralih arah kepada PPBM.

“PPBM menerima berpuluh ribu pendaftaran. Umum mesti faham parti ini baru ditubuhkan dan usaha giat untuk persiapan untuk pilihan raya umum tak lama lagi.

“Saya lihat dengan mata kepala sendiri sokongan rakyat marhaen kuat di mana hadirin puratanya 5,000 orang datang ke ceramah. Di Ampang contohnya, walaupun lokasi ceramah di surau dan kawasan rumah, rakyat datang berduyun-duyun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan FMT yang PPBM dilihat masih lesu, walaupun ia kini sepatutnya perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk bertapak di kalangan parti pembangkang lain yang lebih berpengalaman.

Malah, PPBM masih belum menggariskan secara jelas program politiknya, sementara Tan Sri Muhyiddin Yassin juga dilihat tidak banyak menonjol.

Ia dikuatkan lagi dengan kenyataan pemerhati politik veteran kepada FMT yang Muhyiddin tidak seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang terus mengeluarkan pelbagai kenyataannya mengulangi serangan ke atas pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas tuduhan kononnya Muhyiddin tidak senang dengan DAP, Tariq berkata ia tidak benar sama sekali, malah kedua-dua pemimpin parti saling bekerjasama.

“Saya percaya kepimpinan parti sudah berbincang bersama kepimpinan DAP. Tidak benar perjuangan PPBM tidak sehaluan dengan DAP.

“Tun Dr Mahathir seharusnya dilihat sebagai pemangkin yang mencetuskan penggabungan puak pembangkang yang sependapat menentang polisi neo-fasis pihak berkuasa di bawah satu tatanegara,” katanya.





- FMT

No comments: