Wednesday 28 September 2016

Tanpa isu 1MDB pun BN akan gagal tawan Selangor, kata Ibrahim Ali

ibrahim-ali
PETALING JAYA: Penyokong Barisan Nasional (BN) berbangsa Melayu akan beralih arah sekiranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden Perkasa.
Datuk Ibrahim Ali berkata percaya BN akan terus gagal menawan Selangor sekiranya isu 1MDB dicanangkan pada waktu kempen, namun ia bukanlah prasyarat kemenangan pakatan parti pemerintah negeri.
Ini kerana status quo tidak akan berubah sekiranya corak pengundian orang Melayu pada PRU13 berulang dalam pilihan raya akan datang.
“Melayu yang tolak BN pada PRU13, saya tidak fikir mereka akan kembali undi BN sebab PRU13 mereka sudah tolak. Sewaktu PRU13, mereka tolak BN dan pada masa itu belum ada isu 1MDB dan GST. Itu pun BN kalah teruk.
“Kalau setakat penyokong Melayu BN yang undi BN pada PRU13 menyokong dan undi BN pada PRU14, maka BN akan gagal tawan Selangor,” katanya kepada FMT.
Semalam, tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati pengundi BN akan terus menyokong BN walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan pengerusi BN, terpalit kontroversi 1MDB.
Tinjauan melibatkan 1,761 pengundi di 56 kawasan pilihan raya di Selangor. Tinjauan juga mendapati penyokong BN berbangsa Melayu percaya isu 1MDB tidak akan menjejaskan negara.
Namun begitu, sebanyak 40% penyokong BN di Selangor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap individu misteri Malaysian Official One (MO1) yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).
Ibrahim berkata, perkara yang perlu diperhatikan sama ada pengundi Melayu akan menerima penjelasan BN berhubung isu 1MDB pada pilihan raya nanti.
“Adakah penjelasan yang dibuat oleh pemimpin Umno dan BN mengenai isu 1MDB diterima rakyat Selangor termasuk pengundi Melayu hingga boleh menyakinkan mereka semula untuk mengundi BN,” katanya.
Pada PRU13 lalu, BN hanya memenangi 12 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat melalui gabungan DAP, PAS dan PKR memperolehi 44 kerusi DUN sekaligus berjaya membentu kerajaan negeri dengan bilangan kerusi majoriti.
Dalam tinjauan lain melibatkan 711 pengundi muda Melayu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata sampal menunjukkan kecenderungan yang mirip kepada pengundi Melayu atas pagar yang menolak BN, DAP dan tidak berminat dengan PAS.
- FMT

No comments: