Monday 19 September 2016

30 minit menteri jawab isu – Dewan Rakyat perkenal ‘Waktu Pertanyaan’

bm
KUALA LUMPUR: Sesi “Waktu Pertanyaan Menteri” yang menyerupai format Question Time seperti diamalkan di Parlimen Britain bakal dilaksanakan pada sesi Dewan Rakyat akan datang, menurut Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.

Katanya ia berbeza daripada sesi “Pertanyaan Jawab Lisan” yang memerlukan ahli Parlimen menghantar soalan 10 hari sebelum sidang bermula.

Bagaimanapun, di bawah format baharu ini, soalan dihantar kepada Pejabat Speaker 24 jam sebelum sesi tersebut diadakan, iaitu pada 10.00 pagi setiap Selasa dan Khamis.

“Misalnya timbul isu besar pada hari minggu, ahli Parlimen perlu menghantar soalan sebelum pukul 10.00 pagi Isnin. Kami akan menentukan soalan yang akan dijawab berdasarkan kepentingan awam,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat dan simulasi bersama ahli Parlimen di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebanyak 3 kementerian akan menjawab soalan dalam setiap sesi, dengan setiap kementerian diperuntukkan 10 minit merangkumi satu soalan asal dan 2 soalan susulan.

“Saya yakin pihak bertanya dan kementerian akan mematuhi masa ini, jika tidak tiada maknalah perubahan yang dibuat ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, soalan yang tidak sempat dijawab tidak akan dibawa ke sesi seterusnya bagi memberi peluang untuk soalan lain.

Sesi itu merupakan salah satu daripada 4 cadangan pindaan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat oleh Jawatankuasa Dewan Rakyat mengenai Transformasi awal tahun ini.

Sesi tersebut dibuat dengan mewujudkan Peraturan Mesyuarat 14(1)(fa) dan Peraturan Mesyuarat baharu P.M 24A(1) hingga (8), yang memperincikan peraturan dan pelaksanaannya.

Pandikar tidak dapat memberi jaminan menteri akan hadir menjawab soalan, namun tidak melihatnya sebagai masalah.

“Kalau menteri tidak jawab, timbalan menteri boleh menjawabnya. Jawapan tetap sama kerana ia dirangka oleh kakitangan kementerian,” katanya lagi.

- FMT

No comments: