Saturday 24 September 2016

Peminjam PTPTN Kini Disenarai Hitam

PETALING JAYA: Kira-kira 1.3 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) akan disenaraikan di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), di mana ia akan memberi kesan kepada penarafan kredit jika mereka gagal membayar pinjaman pelajaran pada masa yang ditetapkan.
 
Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar dan Oeprasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid berkata, sebaik sahaja disenaraikan dalam CCRIS, penarafan kredit seseorang mungkin akan 'jatuh menjunam' apabila seseorang itu dianggap tidak membuat atau menunjukkan rekod pembayaran dengan baik.

Ini boleh membawa kepada institusi kewangan mengambil langkah menafikan pinjaman mereka atau kemudahan kredit lain.

Beliau menambah, semua peminjam PTPTN akan disenaraikan dalam CCRIS sebaik sahaja tiba masanya untuk mereka mula membuat pembayaran balik, iaitu enam bulan selepas tamat pengajian.

"Apabila seseorang itu sepatutnya mula membayar balik, kami akan menyenaraikan nama mereka dalam CCRIS," katanya kepada The Star, Jumaat.

Sejak ia ditubuhkan pada 1997 sehingga Julai tahun ini, terdapat seramai 2.49 juta peminjam PTPTN.

PTPTN menawarkan pinjaman dari pengajian peringkat diploma ke peringkat PhD.

Walau bagaimanapun, untuk nama seseorang disenaraikan dalam CCRIS adalah satu perkara yang neutral, kerana sesiapa sahaja yang mempunyai kad kredit, gadai janji, pinjaman kenderaan, atau apa-apa bentuk pinjaman dari institusi kewangan berlesen akan disenaraikan dalam pangkalan data ini yang ditadbir oleh Biro Kredit Bank Negara Malaysia.

"Oleh itu, apabila nama seseorang berada dalam CCRIS ia tidak bermaksud sebagai satu 'hukuman' dan mereka yang kerap membayar balik PTPTN tidak perlu bimbang jika mereka disenaraikan dalam CCRIS kerana rekod mereka akan 'bersih'," kata Mastura.

"CCRIS adalah pangkalan data yang digunakan oleh institusi kewangan untuk menilai mereka yang membuat permohonan pinjaman. Jika mereka seorang pembayar yang baik, maka permohonan pinjaman mereka akan diluluskan," katanya.

Mastura mendedahkan bahawa sejak PTPTN mula menggunakan CCRIS pada 2015, lebih ramai peminjam telah tampil untuk berunding mengenai mod pembayaran balik yang lebih meringankan.

Walau bagaimanapun, PTPTN masih belum mengambil jalan keluar dengan menyenaraikan peminjam di sistem persendirian yang dikendalikan Credit Tip Off Services Sdn Bhd (CTOS).

Bergantung kepada kursus dan institusi, jumlah pinjaman maksimum mungkin berbeza, dari RM4,750 ke RM30,000 setahun.

Mastura berkata peminjam sepatutnya mula membayar balik pinjaman enam bulan selepas tamat pengajian walaupun tiada notis dihantar dari PTPTN.

Laman web PTPTN menyatakan bahawa notis itu hanya akan dihantar pada bulan ketujuh selepas tamat pengajian.

Sejak penubuhannya, beliau berkata seramai 1.2 juta peminjam sama ada telah membayar sepenuhnya atau telah membayar pinjaman mereka.

Selain menggunakan CCRIS, PTPTN juga menjejaki peminjam dengan memasukkan nama mereka dalam senarai Jabatan Imigresen orang yang dilarang ke luar negara, yang bermula pada tahun 2008.

Sehingga kini, 111,001 orang telah disekat daripada pergi ke luar negara kerana mereka gagal membuat pembayaran pinjaman PTPTN.

Mastura berkata sejak senarai hitam perjalanan itu dilaksanakan, kira-kira 40 peratus daripada peminjam telah menghubungi PTPTN untuk berunding semula pembayaran balik mereka atau untuk menjelaskan jumlah yang tertunggak.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan peminjam bahawa mereka harus memberikan masa sekurang-kurangnya tujuh hari bekerja untuk PTPTN mengeluarkan nama mereka daripada senarai hitam perjalanan.

PTPTN juga tidak akan mengambil langkah mengheret peminjam ke mahkamah.

Justeru, Mastura menggesa peminjam untuk membayar pinjaman mereka sebaik sahaja mereka menerima gaji pertama mereka.

"Jika gaji anda terlalu rendah, anda boleh datang kepada kami untuk menyusun semula pinjaman anda," katanya.

Bagaimanapun katanya langkah itu hanya akan menjadikan tempoh pembayaran balik menjadi lebih panjang.

Bulan lalu, Pengerusi PTPTN Datuk Shamsul Anuar Nasarah juga mengumumkan pinjaman penuh tidak lagi boleh diberikan kerana rekod buruk pembayaran balik.

Katanya hanya RM8 bilion telah berjaya dibayar semula dari RM56.4 bilion yang dikeluarkan sejak 1997.

- TheStar

No comments: