Tuesday 20 September 2016

Ugutan Ali Tinju: Maria Chin bimbang keselamatan keluarga, anak-anak

maria-chin-ali-tinju-2
PETALING JAYA: Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah bimbangkan keselamatan keluarga dan anaknya selepas veteran tentera Mohd Ali Baharom membuat ancaman kerana menganjurkan tunjuk perasaan Bersih 5.
“Saya ada keluarga dan tiga anak lelaki. Saya sangat risau,” katanya ketika dihubungi FMT.
FMT sebelum ini melaporkan Ali Baharom, yang lebih dikenali sebagai Ali Tinju, mengugut Maria supaya berwaspada atau nanti “tidak akan berjalan di atas bumi”.
Ali juga mengingatkan Maria supaya jangan mencabarnya akan “kami akan buatkan kaki dia ke atas, kepala dia ke bawah jalan.”
Ugutan itu menyusuli pengumuman Bersih 5 akan diadakan pada 19 November depan.
Maria menyifatkan ancaman serang hendap Ali Tinju itu sebagai keganasan terhadap wanita.
Beliau menyoal mengapa polis tidak bertindak terhadap Ali Tinju, sebaliknya menahan bekas wartawan Sidek Kamiso semalam atas dakwaan menghina agama Islam.
“Ali Tinju buat ugutan dan polis membisu.”
Maria turut bimbang akan keselamatan ahli jawatankuasa pemandu Bersih 2.0.
“Hari ini, saya. Esok mungkin orang lain. Kami hanya menunjuk perasaan dan berkonvoi. Mengapa mereka mahu mengancam kami dengan keganasan?”
Maria bagaimanapun tidak bimbang dengan ikrar pemimpin Baju Merah Jamal Yunos yang mahu adakan himpunan balas terhadap Bersih 5.
“Mereka perlu henti buat ugutan dan fahami apa yang cuba kami lakukan.
“Di Malaysia, kita ada cukup ruang untuk berbeza pendapat dan kita tak perlu menggunakan keganasan,” katanya.
Katanya tindakan ganas bukan cara rakyat Malaysia melakukan sesuatu dan menegaskan Bersih 5 merupakan himpunan aman.
Maria yakin polis akan dapat mengekalkan keamanan dan ketenteraman pada tunjuk perasaan dan ceramah Bersih 2.0 nanti, tetapi meminta polis supaya berwaspada dan mengambil tindakan tegas sekiranya keganasan meletus.
“Polis perlu ambil tanggungjawab dan tidak melepaskan tangan seolah ia tidak serius. Saya hendak polis menjaga keamanan.”
- FMT

No comments: