Friday 23 September 2016

Dr M juga ‘menabung’, tetapi untuk buka kedai roti

mahathir-najib
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha mencari salah lakunya selepas meletak jawatan Perdana Menteri tidak membuahkan hasil memandangkan masih belum ada dakwaan mahkamah sehingga hari ini.

Bekas perdana menteri itu berkata gaji yang diterima daripada kerajaan sudah lebih daripada mencukupi untuknya.

“Saya (juga) tidak perlu belanja gaji untuk sara hidup kerana segala-galanya, rumah, api dan air, kenderaan, pesawat terbang, perjalanan ke merata dunia dibiayai oleh Kerajaan,” tulis Dr Mahathir di blognya hari ini.

“Gaji selama 29 tahun dalam Kerajaan saya simpan. Itulah wang yang saya guna untuk modal kedai roti, ternakan kuda, lembu dan kerbau. Saya tidak pinjam barang satu sen pun dari bank,” katanya lagi.

Dr Mahathir menyanggah pengkritik yang berkata beliau tidak layak mengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerana “turut membuat perkara sama” ketika mentadbir negara.

Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu menjawab beliau tidak pernah dituduh mengamalkan rasuah, sepanjang 22 tahun memimpin negara.

“Bilakah saya dituduh, di dalam dan luar negara, mencuri duit kerajaan berbilion ringgit?” soal Mahathir, menekankan duit kerajaan itu sebenarnya duit rakyat.

“Saya biasa dituduh sebagai perasuah dan mempunyai kroni…tetapi sebagai orang politik tuduhan ini perkara biasa. Hakikatnya tuduhan seperti yang dilempar kepada Najib tidak pernah dilempar kepada saya semasa jadi Perdana Menteri,” tambahnya.

Namun Mahathir akui beberapa keputusannya dahulu menyebabkan kerajaan menanggung kerugian, namun itu tidak boleh disamakan dengan rasuah.

Beliau merujuk skandal bijih timah Maminco Sdn Bhd dan Perwaja Steel Sdn Bhd, dua syarikat yang menyebabkan kerajaan kehilangan jutaan ringgit.

Pada 1981, percubaan Maminco – yang membuat pinjaman RM1.5 bilion dengan Bank Bumiputra – untuk mengawal harga bijih timah di Bursa Saham London menemui kegagalan dan kerajaan terpaksa melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menutup kerugian itu.

Berkenaan Perwaja Steel pula, kerajaan menyuntik dana RM2 bilion bagi menyelamatkan syarikat itu, selain pinjaman daripada Bank Bumiputra dan KWSP.

Tan Sri Eric Chia yang dibawa untuk menyelamatkan syarikat itu menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk. Pada 2004, Chia didakwa atas tuduhan pecah amanah namun dibebaskan 3 tahun kemudian.

“Kerajaan rugi kerana arahan saya, tetapi ia bukan disebabkan saya lesapkan duit kerajaan. Ia adalah kerugian perniagaan.

“Apakah kerugian ini sama seperti wang yang dihilangkan oleh 1MDB? Apakah ada bukti yang kerugian Kerajaan disebabkan saya masukkan duit Kerajaan dalam akaun peribadi saya?,” soalnya.

- FMT

No comments: