Saturday 24 September 2016

Parti baharu Shafie mampu tambah undi tolak BN, kata penganalisis

Dr-Ahmad-Atory-Hussain,shafie-apdal
PETALING JAYA: Parti baharu yang akan ditubuhkan bekas pemimpin Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dijangka mampu menambahkan undi menolak BN.
Namun pertambahan undi itu sia-sia jika pembangkang gagal memastikan pertandingan satu lawan satu, kata penganalisis politik Dr Ahmad Atory Hussain.
“Saya rasa akan ada impak di Sabah,” kata Atory, sekiranya pembangkang bersepakat.
“Di Sabah terdapat isu setempat yang boleh dimainkan pembangkang, misalnya lambakan pendatang asing ke negeri itu dan pencerobohan pengganas di Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZONE),” katanya.
Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu ditanya sama ada kehadiran parti baharu Shafie akan memberi kesan kepada politik Sabah.
Parti itu dilaporkan akan membawa imej berbilang kaum, dan aktivis tempatan daripada pelbagai jalur fahaman seperti Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking yang meninggalkan PKR baru-baru ini.
Penganalisis politik Prof Madya Arnold Puyok dari Universiti Malaysia Sarawak (UMS) percaya parti itu akan menarik penyertaan rakyat Sabah.
“Namun impaknya belum pasti lagi. Ini kerana kita tidak pasti berapa ramai akan sertai parti Shafie. Masih terlalu awal untuk kita lihat, tetapi menarik untuk diperhatikan,” katanya.
Berbeza dengan politik di Semenanjung, dominasi BN di Sabah sering dicabar parti pembangkang majmuk, seperti Parti Bersatu Sabah yang membentuk kerajaan dari 1985 hingga 1994.
Terdapat lebih 42 kumpulan etnik di Sabah yang berpecah kepada lebih 200 kumpulan kecil dengan bahasa, budaya dan kepercayaan tersendiri. Kira-kira 26% rakyatnya beragama Kristian.
- FMT

No comments: