Saturday 24 September 2016

Penganalisis: Cukuplah hina orang Melayu, undi tak semestinya milik Umno

Awang Azman Awang Pawi
PETALING JAYA: Hujah yang cacat dan merendahkan orang Melayu. Begitu kata seorang penganalisis politik mengenai prasangka persempadanan kawasan pilihan raya memihak kepada Umno.
Sebelum ini, beberapa parti politik mendakwa sejumlah besar pengundi Melayu dipindahkan ke kerusi tradisi Umno.
Bercakap kepada FMT, penganalisis politik Universiti Malaya Prof Madya Awang Azwan Awang Pawi menyifatkan anggapan kononnya persempadanan kawasan pilihan raya hanya memanfaatkan Umno terlalu simplistik.
Jelasnya pola pengundian masyarakat Umno sudah berevolusi, terutamanya di kawasan bandar.
Awang mengulas kritikan sesetengah wakil rakyat, terutamanya pembangkang, yang mendakwa cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya memberi kelebihan kepada Umno mengekalkan Putrajaya pada PRU-14.
Naib Presiden PRK Nurul Izzah Anwar awal minggu ini mendakwa persempadanan itu menyebabkan Selangor berdepan risiko dirampas BN.
Awang berkata parti berasaskan orang Melayu sudah bertambah, seperti Amanah, yang merupakan parti pecahan PAS, dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), yang ditubuhkan bekas pemimpin Umno, termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ini bermakna tak semestinya undi Melayu akan memenangkan Umno,” katanya, dan menambah di Selangor ramai ahli Umno sertai PPBM.
Beliau mengecam prasangka pengundi Melayu secara automatik akan mengundi Umno sebagai memandang rendah keupayaan orang Melayu untuk berfikir dan pertimbang tawaran setiap parti.
SPR menjalankan penentuan semula sempadan kawasan pilihan raya Parlimen dan Negeri di Tanah Melayu dan Sabah mulai 15 September.
Cadangan itu, yang disiarkan untuk mengambil maklum balas orang awam, tidak muktamad kerana perlu melalui proses bantahan dan perlu diluluskan Dewan Rakyat.
Pihak yang dibenarkan undang-undang untuk membantah boleh berbuat demikian sehingga 14 Oktober.
- FMT

No comments: