Wednesday 28 September 2016

The Star puji Zahid pilih jalan sukar berucap BI

zahid-UN
PETALING JAYA: Pengarah Urusan The Star Wong Chun Wai memuji tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggunakan bahasa Inggeris ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNGA) minggu lalu, meskipun tahu keupayaannya agak terhad.

Katanya, timbalan perdana menteri itu boleh saja mengambil jalan mudah dengan berbahasa Melayu tetapi usahanya untuk menyampaikan mesej kepada seluruh dunia dengan bahasa universal patut diberikan kredit.

Dalam artikelnya, Wong berkata tidak mengejutkan jika bahasa Inggeris Zahid tidak hebat kerana beliau bukan produk sekolah berasrama penuh berprestij di Britain atau universiti elit dan tidak pernah berpeluang belajar di sekolah mubaligh di mana bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa pengantar.

Ibu bapanya bukan aristokrat atau keturunan pemimpin Umno dan Zahid tidak dilahirkan dalam keluarga kaya. Beliau bersekolah di SK Sungai Balai kemudian ke Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh dan Sekolah Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Sehubungan itu, katanya walaupun diperlekeh, Zahid tidak perlu putus asa, teruskan berlatih dari sekarang serta cuba lagi menyampaikan ucapan dalam Bahasa Inggeris sekerap mungkin.

Sejak minggu lalu, ramai pihak termasuk di media sosial mempersoalkan ucapan Zahid di UNGA kerana kelemahannya dalam penguasaan bahasa Inggeris hingga ada perkataan yang disebut tidak tepat bunyinya, susulan tersebar video ucapannya itu.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Samad dan Datuk Paduka Marina Mahathir berkata Zahid sepatutnya memilih berucap dalam bahasa Melayu.

Namun, Wong berkata jika Zahid menggunakan bahasa Melayu, mesejnya tidak akan sampai ke seluruh dunia, kerana suka atau tidak bahasa Inggeris ialah bahasa universal.

“Bahasa Inggeris Zahid memang berat dengan aksen Melayu, tetapi bahasa Inggeris Setiausaha Agung PBB Ban Ki-moon aksennya Korea; sama juga dengan pemimpin dari India,” katanya.

Daripada keseluruhan episod ini, katanya apa yang patut dibimbangkan ialah bahasa Inggeris, sama ada penulisan atau percakapan sangat penting tetapi kemahiran rakyat di negara ini dalam menguasai bahasa itu semakin hilang.

Katanya, lebih menakutkan apabila guru yang gagal dalam ujian bahasa Inggeris kini mengajar murid dalam bahasa itu.

“Bukan sekolah vernakular atau kebangsaan yang menyebabkan tiada perpaduan seperti didakwa yang perlu dibimbangkan; isunya ialah mengenai standard pendidikan di Malaysia semakin merudum itu termasuk standard bahasa Inggeris di sekolah yang amat mengejutkan,” katanya.

- TheStar

No comments: