Saturday 24 September 2016

Persempadanan SPR: BN tubuh jawatankuasa selaras cadangan balas

Suruhanjaya Pilihan Ray
KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa ditubuhkan bagi menyelaraskan cadangan balas Barisan Nasional (BN) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.
Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dianggotai kesemua setiausaha agung komponen parti.
“Jadi melalui jawatankuasa itu, kita akan menyatukan semua pandangan dan cadangan berkaitan usul tersebut. Mudah-mudahan kita akan dapat keputusan yang dilihat adil oleh semua pihak.”
“Jawatankuasa akan bersidang secepat mungkin mengikut rangka masa SPR dan undang-undang ditetapkan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato’ Onn, di sini hari ini.
Dilapor SPR melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula Khamis lepas.
Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lepas.
Ketika ditanya adakah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas pewartaan usul persempadanan tersebut, Najib berkata itu bergantung kepada budi bicara SPR.
Antara yang hadir pada mesyuarat itu ialah Tengku Adnan, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong, Pengerusi BN Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Presiden PBS Tan Sri Joseph Kurup dan Pengerusi MyPPP Tan Sri M.Kayveas.
Sementara itu, Liow berkata penubuhan jawatankuasa itu wajar kerana usul persempadanan semula itu akan memberi kesan kepada semua parti komponen BN.
“MCA telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa berkenaan kerana ia adalah parti yang akan terjejas teruk…banyak kerusi yang terlibat adalah di kawasan bandar yang ditandingi oleh kami. Oleh itu, kami perlu mengkaji semula cadangan tersebut,” katanya.
- Bernama

No comments: