Thursday 29 September 2016

Kenyataan Mahathir menjelikkan dan memalukan, kata Rahman Dahlan

rahman mahathir
KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Rahman membidas Dr Mahathir Mohamad, memanggilnya seorang yang memalukan dan tidak waras kerana catatan terbaharu bekas perdana menteri itu di blognya semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata pemasaan catatan itu, yang membandingkan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada rejim Nazi, menimbulkan rasa meluat dan jelik memandangkan Najib kini melawat Jerman.

“Dr Mahathir kini semakin menjelikkan. Beliau bukan sama membandingkan Perdana Menteri dan semua yang berada dalam Kerajaan sebagai Nazi, tetapi melakukannya ketika Perdana Menteri berada di Jerman.

“Tidak wajar untuk menghina sebuah negara dan mengungkit segala sejarah lampaunya yang memeritkan semata-mata untuk mendapat kelebihan politik,” kata Rahman dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam blognya semalam, Mahathir menyifatkan pimpinan BN, penulis blog pro-BN dan media arus perdana – iaitu TV3, New Straits Times dan Utusan Malaysia – Goebbels kecil.

Joseph Goebbels antara pengikut setia Adolf Hitler dan terkenal dengan kemahiran pidato di Jerman di bawah pemerintahan Nazi. Pada 1933, Goebbels diangkat menteri propaganda Hitler.

Mahathir menuduh Goebbels kecil cuba memperbaiki imej perdana menteri yang dikaitkan dengan pelbagai dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), berkata Mahathir bukan negarawan.

“Adalah amat memalukan melihat seorang bekas Perdana Menteri memusnahkan legasi sendiri dan mendedahkan dirinya sebagai seorang yang kecewa dan pendendam,” katanya, mencadangkan Dr Mahathir marah kerana perancangan untuk mengguling Najib gagal.

“Baik bekas Perdana Menteri mahu pun yang masih memegang jawatan, mereka tidak sewajarnya berada dalam kancah politik picisan. Bagaimanapun, Dr Mahathir kelihatan berasa amat selesa berada di situ. Mujurlah Dr Mahathir tidak lagi memimpin Malaysia,” tambah Rahman.

- FMT

No comments: