Friday 23 September 2016

Caj parkir KL: Berapa ramai bukan Datuk yang DBKL temu bual

Lim-Lip-Eng
Oleh Lim Lip Eng

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah terbiasa dan selesa membuat keputusan secara terbalik. Semalam Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abd Aziz mengumumkan maklum balas yang diterima DBKL melalui tinjauan di Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) menunjukkan penduduk di kedua-dua kawasan ini gembira dengan kadar letak kereta yang baharu.

Soalnya, kenapa pendapat orang ramai ditanya hanya selepas kadar parkir dinaikkan, dan bukan sebelum ia dilaksanakan?

Satu lagi contoh ialah bagaimana pandangan awam ditinjau hanya selepas DBKL meluluskan projek Taman Tugu bernilai RM650 juta.

Sebab utama kedangkalan ini ialah para penjawat awam bertindak atas arahan sesuka hati menteri mereka, di mana keutamaan diberikan kepada apa yang diarahkan bos mereka daripada Umno, selepas itu barulah keresahan rakyat diambil peduli.

Tentang penerimaan baik penduduk Bangsar dan TTDI, tinjauan saya sendiri ketika bertemu penduduk setempat mendapati sebaliknya. Bukan saja mereka tidak suka dengan kenaikan tersebut, mereka juga memaki hamun tindakan DBKL.

Maka saya ada 2 soalan untuk datuk bandar – berapa ramai rakyat biasa tidak bergelar Datuk di Bangsar dan TTDI yang ditinjau dalam survey itu dan adakah ia dilakukan di hotel bertaraf 5 bintang sambil makan malam atau di tepi jalan berhampiran meter letak kereta?

Bagi membuktikan kenaikan kadar parkir DBKL adalah popular di kalangan penduduk Bangsar dan TTDI, saya mencabar datuk bandar mengadakan pertemuan secara town-hall dengan orang ramai berkenaan perkara ini dengan secepat mungkin.

Lim Lip Eng ialah ahli Parlimen Segambut.

- FMT

No comments: