Tuesday 20 September 2016

Rafizi dakwa jumlah pelajar tak dapat PTPTN naik mendadak

rafizi-ptptn
KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli mendakwa anggaran jumlah pembiayaan baharu dikeluarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 2015 hanya satu pertiga berbanding 2010, membayangkan kemungkinan ramai pelajar di IPTA dan IPTS tidak mendapat pembiayaan pendidikan.
Setiausaha agung PKR itu berkata anggaran itu berdasarkan Buku Info PTPTN 2011, kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi pada 19 November 2015 dan “sumber lain”.
“Jumlah pembiayaan pendidikan baharu yang diluluskan pada 2015 (sekitar RM2 bilion) adalah satu pertiga daripada jumlah pada 2010 (RM6 bilion),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
“Jawapan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap pada 19 November 2015 menunjukkan pembiayaan baharu (diluluskan dan diagihkan) bagi 9 bulan pertama 2015 hanyalah RM2.08 bilion.
“Walaupun saya belum mendapat jawapan bagi seluruh 2015, semester pengajian bermula sebelum September maka ia anggaran baik bagi pembiayaan baharu yang diluluskan bagi setiap tahun,” katanya.
Rafizi berkata keadaan itu menunjukkan PTPTN berdepan masalah aliran tunai yang mencetuskan krisis pengajian tinggi negara.
Katanya, masalah aliran itu boleh dilihat melalui langkah PTPTN menyenaraihitamkan peminjam, membuat potongan gaji secara automatik dan mengehadkan pinjaman penuh kepada pelajar daripada keluarga yang layak menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) saja.
“IPTS dan IPTA bergantung kepada PTPTN untuk membiayai pelajar, maka kegagalan PTPTN membiayai pelajar pada jumlah drastik ini bermakna sistem pendidikan tinggi sekarang sedang berdepan krisis yang runcing,” katanya.
Pada 17 September lalu, beliau mencadangkan kerajaan menghentikan penghantaran pelajar ke universiti luar negara secara berperingkat dan menggunakan dana itu untuk memajukan institusi pendidikan tempatan.
Beliau berkata ia hanyalah sebahagian daripada reformasi pendidikan tinggi yang berpunca daripada krisis yang dihadapi.
Ahli Parlimen Pandan itu juga membangkitkan kembali idea pendidikan percuma yang ditawarkan PKR menjelang pilihan raya umum lalu.
“Ramai menuduh ia helah murahan untuk meraih undi. Saya sebenarnya bimbang kelangsungan pendidikan tinggi negara dengan model pinjaman PTPTN kerana saya yakin dalam beberapa tahun dari 2012 ia akan mengalami krisis kewangan yang meruncing,” katanya.
- FMT

No comments: