Thursday 29 September 2016

Veteran PAS keturunan Bugis bakal ganti Haron Din?

Dr Sanusi Daeng Mariok
KUALA LUMPUR: Nama bekas naib presiden PAS era 90-an, Dr Sanusi Daeng Mariok kini semakin popular untuk dilantik sebagai mursyidul am PAS menggantikan Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia di Amerika Syarikat baru-baru ini.

Daeng, yang pernah dipelawa bekas pemimpin PAS Datuk Mohd Asri Muda ke dalam barisan kepimpinan pada 1976, kini mempengerusikan Jawatankuasa Tatatertib PAS, iaitu badan sama yang melucutkan keahlian bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa, April lalu.

Walaupun sudah lama tidak menonjol dalam politik PAS, tiba-tiba saja beliau dinobatkan “tokoh ulama paling senior”, dan menjadi fokus satu tulisan khas dalam Harakahdaily, lidah rasmi parti itu.

Rencana itu dikarang Ketua Pusat Sumber, Pusat Penyelidikan PAS, Mohd Fadli Ghani, yang dipercayai mempunyai pengaruh besar dalam kepimpinan PAS semasa.

Fadli sebelum ini giat menulis ruangan “Hari ini dalam sejarah PAS” yang memberikan laporan objektif tanpa memuji mana-mana tokoh yang masih hidup.

Artikel mengenai Daeng itu diterbitkan ketika PAS tercari-cari siapakah bakal dilantik menjadi mursyidul am, jawatan tertinggi yang dikhaskan untuk golongan agamawan PAS.

Selepas kematian Haron, timbalannya Datuk Ahmad Yakub, yang juga menteri besar Kelantan, menolak cadangan beliau mengisi kekosongan itu.

“Bagi saya, tulisan panjang dalam Harakahdaily itu adalah signal besar tentang siapakah bakal mursyidul am yang baru,” kata Abdul Shukur Harun, bekas wartawan dan pemerhati veteran PAS.

Shukur yakin Daeng kini sedang ditonjolkan untuk dijadikan pemimpin spiritual tertinggi PAS.

Pandangan Shukur disokong penganalisis Ilham Centre, Hisomuddin Bakar, yang berkata cadangan itu masuk akal dan wajar.

Namun begitu, beliau masih bertegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang masih merupakan calon terbaik untuk jawatan itu.

Dalam penulisan itu, Daeng dipuji kerana berjaya menangani krisis kepemimpinan PAS yang tercetus selepas Muktamar PAS 2015 di Kuala Selangor.

Daeng, yang lebih mesra dengan panggilan Pak Daeng, 80, merupakan bekas pensyarah Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), bersama dengan Haron.

Beliau memperolehi PhD dalam bidang Usuluddin di Universiti Darul Ulum, Kaherah pada 1975.

Kali terakhir nama beliau meniti media massa adalah apabila Jawatankuasa Tatatertib PAS diketuai beliau membuat keputusan memecat Datuk Husam Musa, berkuatkuasa 23 April 2016 lepas.

Sebelum ini beliau pernah menjadi naib presiden, naib ketua Dewan Ulama dan pengerusi Lembaga Pengarah Harakah, surat khabar diterbitkan parti itu.

Daeng terpilih sebagai ahli Parlimen Rantau Panjang, Kelantan pada pilihan raya 1990 dan 1995.

Sebelum ini, ada yang menyebut Hadi tokoh yang paling layak dilantik sebagai mursyidul am.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya siapa menggantikan Hadi sebagai presiden. Ini kerana, barisan kepimpinan PAS yang ada sekarang tidak mahu timbalan beliau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, naik ke jawatan presiden.

Tuan Ibrahim dilihat mempunyai pendekatan berbeza dengan Hadi yang lebih rapat dengan kepimpinan Umno.

- FMT

No comments: