Sunday 25 September 2016

Gerakan bantah persempadanan pilihan raya kerana menjejaskan partinya

Mah-Siew-Keong_spr_600
KUALA LUMPUR: Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) akan membuat bantahan berkaitan usul persempadanan semula pilihan raya di beberapa kawasan yang disifat boleh menjejaskan parti itu, termasuk di 5 kawasan pilihan raya di Selangor.
Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bantahan itu akan diserahkan kepada jawatankuasa yang baru ditubuhkan untuk menyelaraskan cadangan Barisan Nasional (BN) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkaitan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya.
“Kawasan yang akan menjejaskan Gerakan dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya itu ialah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai, DUN Bukit Gasing, DUN Bukit Lanjan, DUN Kota Alam Shah dan Parlimen Puchong di Selangor.
“Selain 5 kawasan Selangor, Gerakan juga akan membuat bantahan di beberapa kawasan lain di seluruh negara,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN mengumumkan parti itu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas menyelaraskan cadangan balas BN kepada SPR berkaitan usul persempadanan semula itu.
Jawatankuasa itu akan diketuai Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan dianggotai kesemua setiausaha agung parti komponen.
Mah berkata dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi semalam semua parti komponen mengemukakan masalah yang dihadapi ekoran persempadanan semula itu.
Gerakan mengenalpasti kawasan yang terjejas dan akan mendapatkan sejumlah 100 orang pengundi untuk melakukan bantahan berkenaan, katanya.
SPR melaksanakan kajian semula persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah bermula 15 September lepas.
Syor kajian semula persempadanan itu mula dipamerkan bagi tempoh satu bulan bermula 15 Sept hingga 14 Okt ini, untuk tujuan semakan dan bantahan.
- Bernama

No comments: