Tuesday 20 September 2016

KJ beri keterangan dalam saman RM100 juta Anwar

KJ-anwar
KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Mahkamah Tinggi hari ini memberi keterangan di kandang saksi dalam kes tuntutan saman RM100 juta terhadapnya yang difailkan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Khairy atau turut dikenali dengan gelaran KJ, tenang sepanjang memberi keterangan dan menjawab soalan balas daripada 2 peguam yang mewakili Anwar, iaitu J Leela dan Latheefa Koya.
Leela memulakan soal balasnya dengan menekan Khairy mengapa beliau membayangkan konotasi seksual yang Anwar ialah gay di hadapan khalayak dalam satu ceramah pra pilihan raya umum 2008 menerusi kenyataannya: ‘PAS main DAP ikut kiri, DAP main PAS ikut kanan, Anwar main dua-dua dari belakang’.
Bagaimanapun, Khairy menafikan beliau membayangkan sebarang sindiran seksual dalam kenyataannya.
“Sudah tentu tidak,” katanya.
Khairy berkata maksud dalam kenyataan itu ialah membayangkan yang DAP, PAS boleh ditikam dari belakang oleh Anwar dan Anwar ‘mempermainkan parti pembangkang’.
Khairy dalam ucapannya turut menyentuh parti pembangkang yang membentuk pakatan pembangkang bersama hanya ‘kahwin mutaah’ di mana pembangkang berkahwin secara sementara dengan pihak lain dengan satu tujuan.
“Saya tidak mahu menghina Syiah. Tetapi itu yang difahami secara umum. Mereka ‘berkahwin’ kerana mahu bekerjasama tetapi bukan untuk tujuan jangka panjang,” katanya.
Leela kemudian bertanya apa maksud ucapannya; “dia kahwin satu malam, main malam tu, esok hari dia cerai” ketika merujuk kepada parti pembangkang yang bersatu sebagai pakatan pada pilihan raya umum 2008.
Leela: Terma “main malam tu” bukan ada maksud seksual?
Khairy: Parti politik tak boleh melakukan seks. Ia berbalik kepada metafora (kahwin mutaah).
Leela turut menyoal jika Khairy ada bukti yang Anwar tarik balik kenyataannya bila Khairy mendakwa Anwar ‘mempermainkan parti pembangkang’.
“Bila pihak pembangkang ada kecenderungan melakukannya sebelum ini, mereka mungkin berbuat begitu sekali lagi,” katanya merujuk kepada gabungan pembangkang iaitu PKR, PAS dan DAP yang dibuat pada pilihan raya umum pada 1999 dan 2004 tetapi pakatan itu gagal.
Bagaimanapun, Leela terus menekannya dengan berkata dakwaannya terhadap Anwar mengkhianati pembangkang, ialah fitnah.
Khairy menjawab:”Ini ialah kenyataan politik dan ia dibuat berdasarkan kepada komen yang adil.”
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dengan mendakwa defendan, ketika itu naib ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk ‘Anwar and Kin No Threat’, dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk Malaysiakini.com.
Anwar memohon RM100 juta dalam ganti rugi teruk dan teladan, selain relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bersandar kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Beliau berkata sebagai naib ketua Pemuda Umno, beliau mempunyai tanggungjawab perundangan, moral dan sosial kepada masyarakat dan orang Melayu, dan orang awam mempunyai kepentingan yang sah yang bersamaan dalam penerimaan maklumat berkaitan perkara dalam perbincangan yang memberi kesan kepada sosial, ekonomi dan politik.
Perbicaraan bersambung esok di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azizul Azmi Adnan.
- FMT

No comments: