Monday 19 September 2016

Kit Siang cadang Selangor undi awal elak BN untung langkah SPR

kit-siang-pakatan-selangor-1
PETALING JAYA: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang hari ini berkata kerajaan Pakatan Harapan di Selangor perlu mempertimbangkan pembubaran Dewan Undangan Negeri lebih awal supaya ia tidak perlu memakai peta pilihan raya baharu yang dicadangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya pilihan raya negeri awal boleh menjadi pilihan, susulan cadangan persempadanan semula SPR yang menurutnya “meremuk dan menyembelih peta Selangor semata-mata mengembalikan Umno di negeri itu”.

Kit Siang berkata menawan kembali Selangor merupakan antara 3 objektif persempadanan semula SPR yang diumumkan Khamis lalu itu, di samping memberikan majoriti 2/3 parlimen kepada Umno dan memastikan kekalahan beberapa tokoh politik seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Nurul Izzah Anwar.

“Persempadanan semula yang ke-5 ini mencatat sejarah kerana menjadikan jurang pengundi lebih besar daripada sebelum ini – yang jelas bukan niat perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan sebelum ini mempersoalkan persempadanan semula itu dan mendakwa bilangan pengundi ramai di kerusi yang disandangnya merupakan usaha mencuri keputusan pilihan raya umum depan, kerana ia akan mengakibatkan bilangan kerusi lebih rendah di Parlimen.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PKR Nurul Izzah Anwar menyifatkan langkah itu “penipuan sistematik”, manakala beberapa pemimpin DAP sebelum ini mempersoalkan perbezaan besar bilangan pengundi di antara sesebuah kawasan parlimen.

Cadangan SPR itu melibatkan 128 kawasan Parlimen, dan boleh dibantah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pengundi dalam kelompok 100 orang, sebelum 15 Oktober.

Antara kawasan terlibat termasuk Gelang Patah yang diwakili Kit Siang, yang semalam menyenaraikan 13 kawasan Parlimen dengan bilangan pengundi melebihi 100,000 orang.

Katanya antara tujuan persempadanan semula SPR itu ialah memastikan Barisan Nasional (BN) merampas kembali Selangor “dengan cara paling menjelekkan, tanpa selindung dan melanggar prinsip demokrasi ‘satu orang satu undi'”.

BN di Selangor tewas pada pilihan raya umum 2008 dan sekali lagi gagal menawan kembali negeri terkaya di Malaysia itu pada 2013, dengan hanya menerima 12 kerusi diwakili Umno. PRU akan datang perlu diadakan pada 2018.

Sebelum ini, ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Nazri Aziz menolak dakwaan pembangkang, dan berkata jumlah pengundi yang ramai di kerusi bandar adalah kerana penduduk kawasan itu lebih mudah didekati.

- FMT

No comments: