Wednesday 28 September 2016

C4, Bersih 2.0 bidas Rafizi beri wang tarik belia jadi pengundi

Maria-Chin
PETALING JAYA: Ahli Parlimen tidak boleh menawarkan insentif tunai bagi menarik anak muda mendaftar sebagai pengundi, kata pemantau pilihan raya.
Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata demikian susulan tindakan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berjanji akan mengeluarkan simpanannya sebanyak RM300,000 untuk membantu kempen diketuai badan bukan kerajaan berkaitan PKR, Invoke.
“Saya rasa ia amat menyedihkan untuk sebuah NGO pergi sehingga tahap itu bagi memastikan anak muda mendaftar sebagai pengundi.
“Secara peribadi, saya kurang bersetuju dengan tindakan itu kerana rakyat sepatutnya mendaftar secara sukarela. Ini adalah hak anda dan pilihan raya umum hanya berlaku sekali dalam tempoh 5 tahun,” katanya.
Beliau menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap masalah itu, kerana ia adalah tanggungjawab suruhanjaya itu untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi.
“Kita perlu mempersoalkan SPR kerana ia adalah tugas mereka. Ia bukan tanggungjawab NGO untuk memberi wang bagi menarik pendaftaran.”
Maria berkata, Bersih 2.0 pernah mencadangkan satu sistem pendaftaran automatik sebagai pengundi bagi rakyat berusia 21 tahun ke atas, tetapi saranan itu tidak dipedulikan.
“Ketika ini, 4 juta orang dinafikan pendaftaran kerana SPR begitu perlahan. Kami sebenarnya perlu tanya suruhanjaya itu.
“SPR gagal dalam mendaftarkan pengundi dan ini sebenarnya melucutkan hak pengundi. Kami cuba memperkenalkan pendaftaran automatik, tetapi mereka tidak terimanya.”
Maria turut membidas SPR kerana kekurangan promosi berkesan untuk mendekati anak muda dan sistem sedia ada terlalu membosankan.
“Orang ramai yang ingin mendaftar perlu beratur di pejabat pos atau pergi ke pejabat SPR. Jadi, anda tidak beri orang banyak pilihan.
“Selain itu, adakah kita tahu di mana SPR mewujudkan kaunter pendaftaran dalam siri jelajah mereka? Kita tidak tahu kerana langsung tiada pengiklanan dalam surat khabar.”
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel menyifatkan tindakan memberi ganjaran tunai untuk mendaftar sebagai pengundi adalah langkah tidak baik.
“Jangan sekali-kali tawar tunai kepada pengundi muda. Nilai apakah yang kita sampaikan kepada golongan muda.
“Sebaliknya, Invoke perlu mendidik anak muda dengan demokrasi.
“Iklim politik sekarang mungkin menjijikkan bagi sesetengah orang. Tetapi, cita-cita membentuk masyarakat berfungsi tidak boleh dikompromi dengan insentif tunai.”
Semalam, media melaporkan belia hanya perlu memuat naik slip pendaftaran sebagai pengundi serta memberitahu Invoke sebab mereka mendaftarkan diri dan sertakan beberapa butiran peribadi untuk berpeluang mendapat ganjaran tunai.
Mereka yang memberi jawapan terbaik setiap minggu akan memenangi hadiah utama RM1,000 dan 2 naib juara akan mendapat RM500 serta 3 yang lain bakal diberikan RM200 setiap seorang.
Tinjauan dalam talian yang dilakukan Invoke menunjukkan ramai anak muda boleh dipujuk mendaftar sebagai pengundi, jika ada pihak menawarkan ganjaran wang.
- FMT

No comments: