Friday 23 September 2016

Dr Mahathir mahu jawatan PM, menteri kewangan dipisahkan

mahathir
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui jawatan perdana menteri dan menteri kewangan tidak boleh dipegang oleh orang sama, walaupun beliau sendiri memulakan amalan itu pada 1998.

“Perdana menteri tidak boleh menjawat menteri kewangan,” katanya berucap di London semalam, seperti dipetik The Wall Street Journal (WSJ).

“Kita perlu ada halangan memastikan perdana menteri tidak juga memegang jawatan menteri kewangan.”

Menurut Dr Mahathir, pengasingan kedua-dua jawatan itu akan memastikan skandal kewangan seperti 1MDB tidak berulang.

WSJ melaporkan Dr Mahathir turut mengakui beliau sendiri pernah memegang 2 jawatan itu serentak.

Pada 1998, selepas pemecatan timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga merupakan menteri kewangan, Dr Mahathir mengambil alih jawatan itu dan membentangkan bajet tahunan di Parlimen sehingga bersara pada 2003.

Amalan itu diteruskan Tun Abdullah Badawi dan Datuk Seri Najib Razak, yang turut memegang 2 portfolio penting itu.

Sebelum ini, beberapa pemimpin pembangkang mempertikaikan jawatan menteri kewangan dipegang perdana menteri, dan berkata ia mengundang konflik kepentingan.

Sementara itu, dalam wawancara bersama WSJ di London, Dr Mahathir sekali lagi menyerang Najib.

“Penyelesaian kepada masalah di Malaysia adalah dengan penyingkiran perdana menteri.

“Orang ini menyalah guna jawatannya dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit,” katanya merujuk kemelut 1MDB.

Pada 20 Julai, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat memfailkan saman merampas aset bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion) yang didakwa dicuri daripada 1MDB.

- FMT

No comments: