Thursday 22 September 2016

Warga KL sokong kadar parkir naik, kata datuk bandar

 mohd-amin-nordin-adbul-aziz_kl_parking_600
KUALA LUMPUR: Datuk bandar Kuala Lumpur berkata berdasarkan maklum balas diterima pihaknya, ramai orang awam menyokong kenaikan kadar parkir baharu di ibu kota yang mula dikuatkuasakan bulan lalu.

Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata apabila kadar parkir meningkat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengawalnya, orang ramai berpeluang untuk meletakkan kereta di Bangsar, dan tidak ada lagi ‘double parking’ di situ.

“Banyak orang awam menyokong kenaikan harga parkir ini. Tetapi ada pemberita yang tidak sokong, mungkin dia di sebelah sana (pembangkang), saya tidak tahu.

“Dulu ‘double parking’, sekarang sudah ada ruang untuk orang parkir. Penduduk Bangsar dan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) suka dengan tindakan DBKL,” katanya pada sidang media di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

Amin berkata DBKL dapat mengaut keuntungan sehingga RM1 juta, hasil tindakan menaikkan kadar parkir itu.

“Pembangkang kata kita membazir duit dengan parkir baru ini. Sebenarnya, kita tidak keluarkan sesen pun. Kita dapat sebulan antara RM700,00 hingga RM1 juta dengan sistem baharu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan pembangkang yang menyerahkan memorandum bantahan kenaikan kadar parkir kepada DBKL sebelum ini.

Difahamkan sebayak 11,000 tandatangan rakyat Malaysia berjaya dikumpulkan melalui laman atas talian.
Pada 5 Ogos, ahli Parlimen Pakatan Harapan di Lembah Klang menyerahkan memorandum kepada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi menuntut kadar bayaran tempat letak kereta di beberapa pusat perniagaan sekitar ibu kota dikembalikan pada kadar 80 sen.

Kadar bayaran tempat letak kereta di beberapa pusat perniagaan sekitar ibu kota naik sehingga 150%, daripada 80 sen kepada RM2 untuk jam pertama dan RM3 bagi jam kedua dan berikutnya.

Selepas menerima pelbagai kritikan dan rungutan, DBKL bertindak mengurangkan kadar bayaran itu kepada RM1.50 pada jam pertama dan RM2.50 untuk jam kedua dengan tempoh parkir maksimum 2 jam, berkuatkuasa 1 Ogos lalu.

Bagi kawasan luar pusat bandar seperti Sentul, Bangsar dan Brickfields, RM1 dikenakan bagi jam pertama dan seterusnya, sementara bayaran di luar pusat bandar seperti Segambut, TTDI, Setiawangsa, Sungai Besi dan Bandar Tun Razak dikekalkan pada 80 sen setiap jam.

- FMT

No comments: