Tuesday 20 September 2016

Rosmah tolak anugerah selepas campurtangan akhbar WSJ, NYT

tengku-sharipadin
PETALING JAYA: Setiausaha akhbar perdana menteri hari ini cuba meleraikan kekeliruan susulan tindakan menarik balik anugerah kepada Permata, sambil mempertahankan sumber dana untuk program pendidikan awal naungan Datin Seri Rosmah Mansor itu adalah telus dan diperuntukkan bajet.
Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad juga menambah, Permata dan Rosmah mengambil keputusan untuk menolak Anugerah Memimpin dengan Teladan lantaran campurtangan daripada Wall Street Journal dan New York Times, yang dimaklumkan oleh pengerusi badan penasihat penganjur, Prof Tudor Parfitt.
“Permata, Datin Sri Rosmah Mansor atau Kerajaan Malaysia tidak pernah memohon anugerah itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Sariffuddin, Wakil Tetap Malaysia ke PBB menerima emel daripada Parfitt pada 18 September yang menyatakan penganugerahan akan ditangguh ke 2017 susulan campurtangan media Amerika Syarikat.
“Bagi mengelakkan gangguan ke atas tanggungjawab penting membantu anak-anak Malaysia, Permata dan Datin Sri Rosmah Mansor mengambil keputusan untuk menolak anugerah tertangguh yang diusulkan itu.”
Semalam, New York Times melaporkan anugerah anjuran Antiquities Coalition yang sepatutnya diterima Rosmah pada 22 September depan di Muzium Seni Metropolitan, New York, dibatalkan pada saat akhir.
Parfitt dalam satu kenyataan berkata ia susulan beberapa persoalan yang dibangkitkan sekitar dana Permata. walaupun penganjur tidak mengesan sebarang salah laku secara khusus, keputusan diambil kerana mereka kesempitan masa untuk menyemak dakwaan.
Sariffuddin berkata pihaknya boleh sahkan Permata dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia melalui belanjawan yang diluluskan Parlimen, serta semua perbelanjaan organisasi itu yang menurut tatacara kewangan kerajaan.
“Bukan sahaja ia sudah menjadi rekod kerajaan, malah boleh dijelaskan kepada mereka sekiranya kami atau Permata ditanya sebelum penangguhan anugerah itu.”
“Kami kesal penganjur termakan kempen pihak tertentu yang cuba memburukkan nama Malaysia, kerajaan dan Perdana Menteri.”
- FMT

No comments: