Saturday 23 July 2016

Rapid KL nafi pemandu LRT tidur


PETALING JAYA: Rapid KL menafikan tuduhan kapten tren LRT yang dikatakan tertidur di atas panel pemandu tren berkenaan.
Sebaliknya jurucakap Rapid KL, Lim Jin Aun dalam satu kenyataan hari ini menyatakan kapten itu hanya meletakkan kepala untuk seketika di atas panel pemandu tren.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada satu artikel yang tersebar di media sosial pada 3 Julai lalu menunjukkan seorang Kapten tren LRT Laluan Sri Petaling – Ampang yang meletakkan kepala di atas panel pemandu tren.
“Bagaimanapun ia tetap merupakan satu kesalahan.
“Tindakan disiplin telah diambil terhadap kakitangan berkenaan. Surat amaran sudah dikeluarkan dan beliau telah digantung kerja untuk seminggu sejak semalam di samping diarahkan untuk mendapatkan kaunseling dan mengikuti kursus bimbingan teknikal serta mengikuti pembangunan diri,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan semua tren LRT Laluan Sri Petaling – Ampang beroperasi dalam mod Separuh Automatik atau Semi Auto dengan kawalan rapi daripada Pusat Kawalan Operasi (OCC) di stesen Ampang.
Tugas pemandu hanya bertumpu pada pengurusan membuka dan menutup pintu sambil menunggu arahan daripada OCC.
Menurutnya lagi, pemandu itu difahamkan berehat seketika semasa menunggu tren sampai ke stesen.
“Apapun, ia tetap menjadi satu kesalahan kerana semua Kapten Tren dikehendaki berada dalam siap sedia sepenuh masa dalam perjalanan,” tambah Lim, yang juga turut mrngrtuai Jabatan Komunikasi Kumpulan dan Pemasaran Strategik, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).
Prasarana adalah pemilik aset dan syarikat induk untuk Rapid Rail Sdn Bhd dan Rapid Bus Sdn Bhd, yang masing-masing mengendalikan bisnes rel dan bas Rapid KL untuk Kumpulan berkenaan.
- FMT

No comments: