Saturday 23 July 2016

Salleh ucap Najib terus berani hadapi hentaman politik

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diminta terus berani dan berjuang menentang hentaman politik pada ulang tahun kelahiran ke-63nya hari ini, 23 Julai.
Ucapan dan harapan itu disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak blognya sskeruak.blogspot.my.
Salleh meyakinkan Najib, masih ramai yang berdiri teguh di belakang beliau dan memilih untuk berdiam diri kerana faham perkara ini tidak guna didebat memandangkan ia tidak akan diselesaikan.
“Rakyat Malaysia ini mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan anda (Najib) dan akan terus berdiri di belakang anda. Percaya dan yakinlah anda tidak keseorangan. Selamat hari lahir Dato’ Sri, kekal berani dan terus berjuang kerana kami bersama anda,” katanya.
Menyifatkan fasa ini sebagai paling mencabar dalam hidup Najib, Salleh memuji ketabahan
perdana menteri yang terus kukuh dan tidak mudah mengalah.
“40 tahun karier politik yang mencabar buat Najib, terutamanya pada 10 tahun lalu sejak 2006 apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membuat keputusan beliau sudah cukup rehat dengan persaraannya dan kembali dalam arena politik Malaysia.
“Mana-mana orang pastinya akan mengalah sekarang daripada bertahan selama 10 tahun dihentam berterusan oleh Dr Mahathir,” tulisnya.
Menrujuk peringkat serangan politik terhadap Najib, Salleh berkata ia bermula dengan desakan Dr Mahathir untuk menggulingkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Apabila Najib tidak bersetuju, malahan menyatakan secara terbuka sokongan terhadap Abdullah, Mahathir menyerang beliau.
“Selepas Najib mengambil alih jawatan perdana menteri tiga tahun kemudian, Dr Mahathir terus menyerang beliau dengan pelbagai isu dan terbaharu, sudah tentu mengenai 1MDB,” katanya.
Walaupun Najib merupakan Perdana Menteri Malaysia keenam tetapi Salleh mengakui beliau sebagai yang pertama diganggu oleh bekas perdana menteri.
Katanya walaupun perkara ini sesuatu yang baharu di dunia, tetapi bukan bagi Dr Mahathir bertindak demikian terhadap dua perdana menteri selepas beliau.
- FMT

No comments: