Friday 29 July 2016

Pendekatan Baharu Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi Untuk Rakyat

 
PUTRAJAYA: Pendekatan baharu bagi Jabatan Bantuan Guaman dan Jabatan Insolvensi Malaysia akan diperkenalkan bagi memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada rakyat, kata Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Dalam kenyataannya sempena setahun dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Azalina berkata pendekatan baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi.

Azalina berkata dalam tempoh setahun itu, beliau diberi amanah sebagai menteri untuk menjaga hal ehwal Parlimen, bertanggungjawab bagi Biro Tatanegara (BTN) dan baru-baru ini diberi kepercayaan mengawal selia hal ehwal perundangan.

"Alhamdulillah, bersama-sama dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, proses reformasi Parlimen telah berjalan dan sedang direalisasikan. Begitu juga dengan penjenamaan semula BTN yang semakin rancak dijayakan oleh warga kerja BTN," katanya.

Beliau berkata antara inisiatif yang akan dijalankan adalah penubuhan Mahkamah Khas Siber dan meneliti semula beberapa undang-undang berkaitan dengan siber.

"Saya akan terus menggalas tanggungjawab dan bersama-sama dengan YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam menjayakan proses transformasi negara bagi mencapai status negara maju melangkaui 2020," katanya.

--Bernama

No comments: