Laporan South China Morning Post hari ini memetik Firdaus sebagai berkata, para pemimpin Umno itu telahpun memulakan perbincangan dengan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Di kalangan mereka ialah ahli-ahli Umno kanan, anggota-anggota kabinet dan para pemimpin parti komponen BN," dakwanya tanpa mendedahkan butiran lanjut.
Baru-baru ini, Mahathir mengumumkan penubuhan parti politik baru yang akan membawa agenda 'Selamatkan Malaysia' dan menyingkirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Mahathir yang merupakan ahli veteran Umno akhirnya keluar parti itu pada bulan Februari yang lalu.
Kata beliau, penubuhan parti itu akan menarik mereka yang mungkin tidak menyokong parti-parti pembangkang sedia ada.
South China Morning Post turut memetik kenyataan bekas menteri persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim yang berkata, Umno kini semakin tertekan tetapi ahli-ahli mungkin mengambil sedikit masa untuk melompat parti.
"[Ahli Umno] malu-malu. Ia akan berlaku tetapi perlahan-lahan. Saya rasa Najib akan didakwa oleh Amerika Syarikat, dan kemudian kamu akan lihat orang melompat parti," jelas Zaid.
- MK
No comments:
Post a Comment