Wednesday 27 July 2016

Label ‘agenda asing’ dijadikan umpan sokongan Melayu

 Zaid-Kamaruddin
PETALING JAYA: Hujah kewujudan “campur tangan asing” dalam negara ini muncul kembali selepas Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) memfailkan saman sivil berhubung isu 1MDB minggu lalu.

Seorang aktivis Islam berkata masyarakat Melayu beragama Islam di negara ini mudah menerima hujah sedemikian mungkin kerana rekod buruk AS sendiri dalam hubungannya dengan beberapa negara majoriti Muslim.

Sehubungan itu, ia mudah dijadikan senjata oleh pihak tertentu yang ingin mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu sebenar.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia, Zaid Kamaruddin berkata rakyat perlu lebih matang dan terbuka dalam menghadapi isu seperti ini dan tidak secara mudah melabelnya sebagai usaha campur tangan asing ke atas negara.

“Kalau pun maklumat itu datang daripada pihak yang kita anggap sebagai ‘musuh’, kita perlu melihat sama ada ia benar atau tidak.

“Namun dalam setiap perkara seperti ini, tidak boleh terus pukul rata mengatakan ia agenda musuh berniat jahat,” katanya ketika dihubungi FMT.

Merujuk langkah DoJ itu, beliau berkata AS ternyata mempunyai sebabnya sendiri iaitu menyelamatkan integriti institusi negara itu.

“AS ada kepentingan dalam isu ini, iaitu bagi melindungi negara mereka daripada menjadi tempat kegiatan salah dilakukan,” katanya.

Walaupun saman sivil DoJ adalah untuk menyita aset dalam negara itu yang berkaitan dengan skandal 1MDB, beberapa pihak terus menganggapnya sebagai cubaan AS untuk masuk campur dalam urusan Malaysia.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Jalil, misalnya, memberi amaran “anasir asing” yang cuba mencampuri urusan negara melalui 1MDB.

Malah, Shahrizat berkata penggunaan kuasa asing untuk menumbangkan kerajaan sedia ada boleh menyebabkan Malaysia menerima nasib sama seperti Iraq dan Syria.

Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Aminuddin Yahaya berkata ia terpulang kepada individu sama ada mahu menganggap langkah DoJ itu sebagai cubaan campur tangan atau tidak.

“Yang penting, pihak berkuasa kita sendiri perlu mendapatkan maklumat yang ada dalam dokumen itu dan siasat.

“Pendirian Isma mudah iaitu dengan mewujudkan tribunal bebas supaya isu ini dapat disiasat secara telus dan tanpa mana-mana pengaruh,” katanya.

- FMT

No comments: