Sunday 7 August 2016

PKR yakin parti baru Muhyiddin untuk jatuhkan BN

Wanita PKR melahirkan keyakinan terhadap parti baru yang akan diketuai bekas pemimpin nombor dua Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun mengakui ia boleh menimbulkan cabaran kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan.
Ketua Wanita PKR Zuraida Kamarudin berkata beliau mengalu-alukan parti yang baru itu kerana ia mensasarkan anggota tersendiri.
"(Kebanyakan) ahli Umno tidak selesa menyertai sebuah parti berbilang kaum," kata Zuraida pada sidang media hari ini selepas merasmikan mesyuarat bahagian tahunan Wanita PKR Selangor dan Wilayah Persekutuan di sebuah hotel di Subang Jaya.
Ditanya sama ada sokongan beliau bercanggah pendirian PKR terhadap parti berasaskan kaum, Zuraida berkata:
"Itu adalah pilihan mereka (untuk menubuhkan dan menyokong sebuah parti Melayu/Bumiputera). Apa yang paling penting, mereka mahu untuk bekerjasama dengan kami pada agenda bersama - untuk menjatuhkan Barisan Nasional," katanya.
Muhyiddin pada Khamis lalu mengesahkan beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baru, bersama-sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, serta empat yang lain sebagai ahli jawatankuasa sementara parti itu.
Wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin kemudian mengesahkan parti baru itu akan berasaskan parti Melayu-Bumiputera dan ia akan bekerjasama secara inklusif dengan parti-parti politik yang menentang Barisan Nasional.
Berdepan pilihan raya ke umum ke-14 akan datang, Zuraida mengaku parti baru itu akan menyebabkan banyak perkara menjadi rumit apabila melibatkan rundingan kerusi di kalangan parti-parti Pakatan Harapan.
Pada masa yang sama beliau melahirkan keyakinan bahawa semua pemimpin akan mempunyai kematangan politik bagi mencapai satu konsensus berdasarkan matlamat bersama menjatuhkan BN di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Saya perlu optimistik. Jika saya pesimis saya tidak akan ada di sini," kata Zuraida.

No comments: