Sunday 7 August 2016

Tak mungkin sekolah aliran Cina jadi arus perdana, kata menteri

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menyangkal hasil kajian Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang mendakwa sekolah aliran Cina berupaya menggantikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah arus perdana dalam masa sepuluh tahun akan datang.
Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas hasil kajian dua tahun MPPK yang menambah sekolah aliran Cina akan menjadi lebih majmuk berbanding sekolah kebangsaan dalam tempoh itu.
Jelasnya, perkara itu hanya berlaku di sekolah aliran Cina di kawasan luar bandar dan di Sabah dan Sarawak, tetapi tidak di kawasan bandar.
“Seperti di kawasan Parlimen saya di Padang Terap, 50 peratus pelajar sekolah aliran Cina adalah pelajar bumiputera. Di luar bandar Sabah dan Sarawak, sekolah aliran Cina dikuasai pelajar bumiputera.
“Tetapi di kawasan bandar tidak ada, sekolah aliran Cina memang di dominasi pelajar kaum Cina. Jadi tidak mungkinlah (ia mengambil tempat sekolah kebangsaan),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa di Hotel Seri Pacific.
Sebelum ini sebuah portal melaporkan Ahli MPPK Profesor Teo Kok berkata peratus pendaftaran baru pelajar bukan Melayu bagi sekolah kebangsaan hanya naik empat peratus manakala sekolah Cina pula menerima peningkatan sebanyak 18 peratus bagi pelajar bukan Cina, dan ia dijangka akan terus meningkat saban tahun.
Justeru Teo berkata sasaran Pelan Pembangunan Pendidikan Kementerian Pendidikan 2013-2025 untuk menarik lebih ramai pelajar Cina dan India ke sekolah kebangsaan mungkin gagal pada 2025.
Mahdzir yang mengulas perkara itu berkata, kementerian pendidikan akan tetap memperhalusi hasil kajian tersebut demi mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan akan memberi penjelasan sepenuhnya kepada orang ramai.
Cuma pendapat Noh Omar
Sementara itu dalam perkembangan lain, Mahdzir berkata kos penyelenggaraan sekolah di Selangor masih di bawah tanggungjawab kementerian pendidikan.
Mahdzir berkata cadangan untuk mewajibkan PIBG di semua sekolah di negeri itu mengutip derma bagi menampung kos berkenaan cuma sekadar pendapat yang baik bagi membantu kerajaan.
Cadangan itu sebelum ini diutarakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.
“Saya rasa niat beliau (Noh Omar) baik, mungkin yang dimaksudkannya adalah untuk membantu (kerajaan) sahaja. Kementerian ada bahagian pembangunan dan perolehan, ia masih lagi tanggungjawab kerajaan.
“Sebenarnya sudah ada sekolah yang berbuat demikian. Misalnya ada SJKC yang bina bangunan melalui kutipan PIBG, tetapi ada juga ibubapa yang terbeban dengan yuran yang dikenakan sekolah. Terpulang kepada kemampuan,” katanya.
Sebelum ini Noh mengutarakan perkara itu selepas mendakwa dana untuk penyelenggaraan sekolah tidak mencukupi, walaupun kerajaan memperuntukkan RM500 juta melalui Belanjawan 2016 untuk tujuan itu.

No comments: