Monday, 29 August 2016

Mahathir sudah minta maaf, Umno pula bila?

Parti Bumiputera Bersatu Malaysia (BERSATU) menyeru Umno tidak “hipokrit” terhadap permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad kerana membataskan kuasa Yang di-Pertuan Agung ketika berkuasa.

Mengakui Mahathir pernah silap, pemimpin muda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata bekas perdana menteri itu sekurang-kurangnya telah meminta maaf.

“Bagaimana pula dengan Umno?

“Tak salah ingin menegur. Tapi, bersihkanlah halaman sendiri dulu sebelum nak membersihkan halaman orang lain.

“Jangan jadi hipokrit,” kata bekas pendebat terbaik Asia itu.

Mahathir pada 25 Ogos memohon maaf kerana meminda perlembagaan supaya kelulusan dan tandatangan Agong tidak lagi perlu untuk menjadikan suatu akta sebagai undang-undang.

Katanya, dengan tindakan itu, Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang baru telah mula berkuat kuasa, walaupun Agong tidak menandatanganinya.

Syed Saddiq membangkitkan perkara itu susulan kritikan terbaru pemimpin Umno berkaitan kenyataan Mahathir berkaitan Bangsa Johor.

Mahathir berkata menyemarakkan semangat kebangsaan negeri seperti bangsa Johor tidak sihat untuk Malaysia dan boleh membawa kepada keruntuhan persekutuan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim almarhum Sultan Iskandar turut memberitahu Mahathir supaya menutup mulut daripada membuat kenyataan liar.

Baginda berkata “dia berkeliaran memecah belah rakyat, termasuk orang Melayu, semasa saya sedang menyatukan rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum”.

Bagaimanapun, Syed Saddiq mempertikaikan sikap Umno selama ini terhadap sistem raja berperlembagaan.

“Di manakah Umno apabila Majlis Keselamatan Negara diluluskan tanpa kelulusan daripada Majlis Raja-raja?

“Bahkan permintaan Majlis Raja-raja agar rang undang undang ini digubal semula pada 17 Februari tahun ini tidak diendahkan; di manakah Umno-BN?” soalnya.

Beliau juga membangkitkan kenyataan seorang menteri Umno yang memberi amaran supaya Tunku Mahkota Johor sedia untuk dibelasah jika mencampuri urusan politik sebelum ini.

Begitu juga dengan kenyataan anggota parlimen Langkawi Datuk Nawani Ahmad di media sosial bahawa Malaysian Official 1 (MO1) adalah Agong.

Beliau dilaporkan berkata tidak merujuk kepada MO1 yang disebut 36 kali dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk menyita harga berkaitan 1MDB, sebaliknya menyebut “Malaysia Official Number One”.
- MK
Post a Comment