Friday 26 August 2016

Rentetan Tragedi Wanita Maut Dihempap Besi Kren Di Jalan Raja Chulan

 
"Saya terdengar bunyi dentuman kuat beberapa kali sebelum melihat serpihan besi pencangkuk kren terjatuh dan
menghempap kereta Perodua Kelisa di depan saya", demikian menurut seorang saksi kejadian seorang pemandu wanita yang maut akibat dihempap besi kren di Jalan Raja Chulan, di ibunegara malam tadi.

Pemandu yang hanya mahu dikenali sebagai Elizabeth, 34, berkata ketika kejadian beliau sedang memandu selang beberapa kenderaan di belakang kereta mangsa dan sempat mengelak dari turut terlibat dalam insiden pada 7.20 malam itu.

"Saya nampak orang ramai bertempiaran lari dan menyelamatkan diri melihat sebahagian besi kren jatuh dan menghempap kereta Kelisa itu," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian malam tadi.

Beliau berkata pemandu lain sempat mengelak dan menyelamatkan diri masing-masing, namun pemandu Kelisa tersebut tidak sempat menyelamatkan diri kerana kejadian berlaku begitu pantas.

Sementara itu, seorang penunggang motosikal Hafiz Zakwan, 29 yang turut menggunakan laluan itu, memanjatkan kesyukuran kerana tidak terlibat dalam kejadian malang tersebut.

"Saya berharap pihak pengurusan pembinaan ini akan lebih berhati-hati dan mengutamakan keselamatan semasa melakukan kerja pembinaan," katanya.

Dalam kejadian 7.20 malam tadi, mangsa Chim Khoo Sing, 24, berasal dari Pulau Pinang maut akibat dihempap serpihan besi kren seberat 1,000 kilogram yang jatuh dari tingkat 20 bangunan hotel yang sedang dalam pembinaan di Jalan Raja Chulan itu.

Menurut polis mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tengkuk, dada dan rusuk kanan.

Wanita berkenaan yang berpakaian pejabat itu dipercayai dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

Mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat.

- Bernama

No comments: