Tuesday 23 August 2016

26 Oktober - permohonan Najib, isteri gantung prosiding kes saman

Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 26 Oktober untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggantung prosiding kes saman mereka terhadap Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan satu pihak lagi berhubung isu subsidi minyak.

Timbalan Pendaftar, Nurul Ain Hamzah menetapkan tarikh itu di dalam kamar dengan dihadiri peguam, Nik Alia Nik Hanafi yang mewakili Perdana Menteri dan isteri selaku plaintif.

Dalam saman fitnah tersebut, pasangan itu menamakan Rafizi dan pemilik portal 'Media Rakyat', Chan Chee Kong sebagai defendan.

Peguam, Joanne Leong mewakili Chan manakala Ng Siau Sun bertindak bagi pihak Rafizi.

Joanne ketika ditemui pemberita berkata, kedua-dua plaintif memohon untuk menggantung prosiding kes saman itu sehingga rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur didengar di Mahkamah Rayuan pada 28 November.

Najib dan Rosmah merayu terhadap keputusan Hakim, Datuk Noraini Abdul Rahman yang menolak permohonan mereka bagi memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan kedua-dua defendan pada 15 April lalu.

Mereka memohon memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan itu atas alasan pembelaan kedua-dua defendan bukan satu komen berpatutan, sebaliknya ia adalah fakta.

Pada 16 April tahun lalu, Najib dan Rosmah memfailkan saman itu mendakwa Rafizi telah memberi ucapan berbaur fitnah dalam satu forum berkaitan dengan subsidi minyak di Bandar Tun Razak, di Kuala Lumpur pada 22 November 2014.

Dalam pernyataan tuntutan itu, pasangan itu mendakwa ucapan Rafizi telah dirakam oleh 'Media Rakyat' yang kemudiannya dimuat naik oleh Chan atau pembantunya ke laman web YouTube Media Rakyat dan portal Media Rakyat di bawah tajuk 'Rafizi Ramli: Kenapa Kita Pertahankan Subsidi Minyak'.

Mereka juga mendakwa bahawa rakaman yang sama turut dikongsi oleh Chan dalam laman Facebook Media Rakyat, dengan ia boleh diakses secara bebas oleh pengguna internet seluruh dunia.

Menurut mereka lagi, Chan telah gagal mengamalkan prinsip kewartawanan bertanggungjawab kerana gagal mengambil tindakan untuk mengesahkan atau menyiasat kebenaran tuduhan yang terkandung dalam perkataan fitnah tersebut sebelum menerbitkannya.

Najib dan Rosmah menuntut kedua-dua defendan membayar ganti rugi am, tambahan dan teladan serta satu perintah supaya Rafizi dan Chan menerbitkan permohonan maaf secara bertulis di akhbar dan majalah.

- Bernama

No comments: