Tuesday 23 August 2016

MCA, jangan minta kerusi jika tak boleh menang, kata Shahidan Kassim

Shahidan
PETALING JAYA: MCA perlu beri jaminan yang ia boleh menangkan Parlimen Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju untuk BN sebelum mengambil semula tiga kerusi tersebut daripada Umno.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Shahidan Kassim berkata partinya sedia berbincang dengan rakan-rakan BN berhubung pengagihan kerusi untuk PRU14 nanti, namun tidak mahu tolak ansur itu disia-siakan.
“Banyak orang cakap nak ambil kerusi, kerusi itu. Boleh dibincang tetapi jaminan kemenangan? Jangan hanya minta kerusi tetapi tidak boleh beri kemenangan,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas rancangan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai meminta Umno menyerahkan semula tiga kerusi Parlimen itu yang menurut MCA ‘milik’ mereka. Menurut Tiong Lai, partinya sudah memuktamadkan calon untuk PRU14.
Dalam PRU13 lalu, Umno mengekalkan dominasi BN di Malaysia Barat dengan kemenangan di 88 kerusi Parlimen daripada 117 kerusi.
MCA pula bertanding di 37 kerusi Parlimen dan alami kemerosotan teruk dalam sejarahnya apabila hanya memenangi 7 kerusi.
BN terlepas Kuantan kepada pembangkang selepas calon MCA Datuk Fu Ah Kiow tewas di tangan calon PKR, Fuziah Salleh pada PRU12. Seterusnya walaupun dicabar Umno pada PRU13, kerusi itu masih milik PKR dengan majoriti undi yang lebih baik, 4,515 undi.
Strategi BN juga tersasar di Gelang Patah, apabila kerusi yang berjaya dipertahankan wakil MCA Tan Ah Eng tercicir ke tangan DAP setelah diserahkan kepada Umno. Datuk Abdul Ghani Othman tewas di tangan tokoh DAP Lim Kit Siang dengan majoriti 14,762 undi.
Di Wangsa Maju, PKR menang berdepan calon MCA Yew Teong Look pada PRU12 (majoriti: 150 undi) dan dominan berdepan calon Umno Datuk Mohd Shafie Abdullah pada PRU13 (majoriti: 5,511 undi).
Mengulas lanjut, Shahidan mengingatkan semua komponen BN supaya mengelak membincangkan isu kerusi secara terbuka.
“Yang boleh bincang secara terbuka adalah sama ada boleh atau tidak kita berikan kemenangan. Permintaan kerusi itu nombor dua, yang paling penting adalah jaminan untuk memberikan kemenangan.”
- FMT

No comments: