Thursday 25 August 2016

Kementerian Pendidikan tidak campur tangan isu penderaan seksual sekolah agama

mahdzir
PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak akan masuk campur mengenai isu dakwaan penderaan seksual melibatkan pelajar di sebuah sekolah agama, kata Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Menteri Pendidikan berkata KPM tidak mempunyai locus standi (kepentingan) selain ia merupakan tanggungjawab kerajaan negeri dalam isu berkenaan.
“Ia hak negeri sebab guru dibayar gaji oleh negeri. Peraturan di bawah peraturan negeri. Perkara ini tidak melibatkan kita (Kementerian Pendidikan),” katanya lapor Astro Awani.
Semalam, Ketua Polis Ipoh Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi mengesahkan menerima laporan mengenai dakwaan pencabulan seksual di sebuah maahad tahfiz yang dimiliki seorang penceramah bebas terkemuka.
Abdul Rahim berkata, polis mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan pihak sekolah terbabit.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 377E iaitu merangsang seorang kanak-kanak (bawah 14 tahun) untuk melakukan sesuatu perbuatan kelucahan melampau yang membawa hukuman penjara sehingga 5 tahun dan sebatan.
Sementara itu, Mahdzir menjelaskan sekiranya kes tersebut terjadi di sekolah bawah Kementerian Pendidikan, tindakan sewajarnya akan diambil.
- FMT

No comments: