Wednesday 24 August 2016

Kebocoran data: Scorpene Malaysia tidak terjejas, kata Panglima TLDM

Scorpene Tentera Laut India
PETALING JAYA : Kebocoran dokumen mampu tempur kapal selam kelas Scorpene Tentera Laut India tidak menjejaskan integriti dan keupayaan KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak.
Panglima Tentera Laut Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin memberi jaminan itu ketika dihubungi FMT hari ini.
“Kapal selam TLDM walaupun daripada kelas yang sama, mempunyai ciri-ciri khusus serta keupayaan yang berlainan. Ianya tidak akan menjejaskan operasi atau keupayaan kedua-dua kapal selam,” jelasnya, mengulas kejadian kebocoran data yang memperincikan kemampuan armada kapal selam baharu India itu.
The Australian melaporkan pembina kapal, DCNS, dalam komunikasi dengan pemerintah Australia memberi bayangan kebocoran berlaku di pihak India, bukannya di pihak Perancis.
KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak dibina melalui usahasama DCNS dan syarikat Sepanyol, Navantia.
Seperti kenyataan Kamarulzaman, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull juga berkata kapal selam yang dibina DCNS untuk India adalah model yang berbeza dengan model untuk negaranya, dan maklumat yang bocor itu sudah lapuk beberapa tahun.
Kamarulzaman berkata TLDM memandang serius aspek keselamatan maklumat dan mengambil langkah bagi mengelakkan risiko kebocoran.
“Dasar dan arahan sedia ada sudah mencukupi,” tegas beliau. “Kita tidak akan berkrompomi dengan sesiapa sahaja yang terlibat dalam membocorkan rahsia kerajaan kerana ia boleh menjejaskan keselamatan negara kita.”
Kebocoran maklumat 22,400 halaman itu mendedahkan:
  • Keupayaan selinap (stealth) enam kapal selam Scorpene milik India.
  • Frekuensi kapal selam berkenaan mengumpul maklumat
  • Paras hingar (noise) kapal selam mengikut kelajuan
  • Kedalaman selam, jarak dan daya tahan.
  • Data magnetik, elektromagnetik dan infra-merah
  • Spesifikasi sistem lancar torpedo dan sistem tempur
  • Kelajuan dan keadaan yang membolehkan penggunaan periscope
  • Spesifikasi hingar kipas
  • Paras hingar terpencar (radiated) apabila kapal naik ke permukaan
Kapal selam kelas Scorpene dipesan atau digunakan oleh Malaysia, India, Brazil, Poland, Australia dan Chile.
- FMT

No comments: