Tuesday, 23 August 2016

Bersih Tiada Masalah Baju Merah Datang Himpunan 'Tangkap' Selagi Aman

PETALING JAYA: Kumpulan Bersih tidak mempunyai masalah untuk berdepan dengan kumpulan 'baju merah' semasa perhimpunan #TangkapMalaysianOfficial1 pada Sabtu, selagi ia masih dilakukan secara aman.

"Jika baju merah hendak datang, mereka boleh datang, tetapi ia boleh dilakukan secara aman... hormati perhimpunan aman," kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Beliau berkata, perhimpunan Bersih 4 yang diadakan pada Ogos tahun lalu secara besar-besar boleh diadakan dengan aman, tanpa sebarang keganasan atau insiden yang tidak dingini.

"Semua orang mempunyai hak untuk bersuara, tetapi secara aman. Kita telah pun melakukannya sebelum ini, maka amalan itu perlu diamalkan mulai sekarang," katanya.

Bersih menyatakan bahawa ia akan mengadakan himpunan itu pada 27 Ogos ini, yang akan dianjurkan oleh beberapa kumpulan belia bagi memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya menahan dan mendakwa “Malaysian Official 1” yang dinamakan dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Himpunan itu akan diadakan bermula di dua lokasi pertemuan iaitu Sogo KL dan Masjid Negara, dan peserta merancang untuk berarak ke Dataran Merdeka pada pukul 2 petang.

Kumpulan baju merah diketuai oleh Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos yang menyatakan bahawa mereka mungkin akan mengadakan himpunan balas menentang kumpulan "Tangkap" di lokasi dan hari yang sama.

- mStar
Post a Comment