Thursday 25 August 2016

Peguam setuju Dr Mahathir mansuh kuasa Agong, tidak perlu minta maaf

Syahredzan-Johan
KUALA LUMPUR: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad meminda Perlembagaan bagi memansuhkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pewartaan undang-undang adalah langkah yang tepat, kata peguam Syahredzan Johan.
Justeru, beliau berkata bekas Perdana Menteri itu tidak perlu memohon maaf atas pindaan yang dibuatnya 23 tahun lalu itu.
“Walaupun dengan lulusnya Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) saya tetap tidak menyokong kita kembali kepada keadaan sebelum pindaan Artikel 66. Ia adalah langkah ke belakang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau merujuk pewartaan akta kontroversi itu walaupun selepas Majlis Raja-raja Melayu meminta ia diperhalusi terlebih dahulu.
Pada 1993, kerajaan pimpinan Mahathir meminda Artikel 66 Perlembagaan Persekutuan yang menyebabkan setiap rang undang-undang tetapi diwartakan sebagai undang-undang selepas 30 hari dibentangkan kepada YDPA, walaupun tanpa perkenan baginda.
Hari ini, beliau memohon maaf atas tindakan tersebut yang menurutnya menyebabkan Akta MKN diluluskan.
Syahredzan berkata lagi, semak dan imbang terhadap Legislatif seharus dilakukan oleh badan Kehakiman yang bebas dan bukannya Raja Berperlembagaan.
“Maka jika Mahathir ingin meminta maaf, ia sepatutnya kerana meminda Artikel 121(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Pindaan yang dibuat pada 1988 itu memindahkan kuasa kehakiman daripada mahkamah kepada Parlimen.
“Ia ditafsirkan oleh badan Kehakiman sendiri yang Parlimen boleh menghadkan dan menyingkirkan kuasa Mahkamah melalui penggubalan undang-undang.
“Berbanding pindaan Artikel 66, pindaan ini lebih utama dalam memberikan kuasa kepada Eksekutif dengan mengorbankan institusi perlembagaan yang lain,” katanya lagi.
- FMT

No comments: