Wednesday 24 August 2016

Anina tarik balik saman atas kapasiti anggota Umno

Bekas anggota Umno Langkawi Anina Saadudin menarik balik semua tindakan undang-undang yang dibuat atas kapasiti beliau sebagai anggota parti itu.

Ia berkaitan saman terhadap perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi memulangkan semula sumbangan RM2.6 bilion kepada Umno, saman terhadap pemecatannya dalam Umno dan permohonan mengisytiharkan Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak berpelembagaan.

Anina pada sidang akhbar hari ini berkata keputusan itu dibuat kerana beliau kini berjuang melalui platform yang baru iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"Saya sekarang dengan BERSATU, perjuangan (Umno) tu dah tak relevan. Perjuangan yang lebih penting adalah untuk menjatuhkan Najib daripada kerusi PM.

"Saya sedang bersiap sedia untuk meneruskan perjuangan yang lebih besar bersama BERSATU," katanya kepada pemberita di pejabat peguamnya Mohamed Haniff Khatri Abdulla di Kota Damansara hari ini.

Anina, bagaimanapun mengesahkan bahawa saman yang difailkan bersama-sama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Khairuddin Abu Hassan terhadap Najib bagi pelanggaran kewajipan fidusiari akan diteruskan.

"Saya nak tegaskan bahawa sekarang ini lebih 30 juta rakyat Malaysia sedang dipenjarakan dalam satu penipuan yang terbesar dalam sejarah politik dunia.

"Saya akan lakukan apa sahaja dalam kapasiti yang saya ada untuk berjuang sehingga ketitisan darah terakhir, untuk pastikan rakyat Malaysia dibebaskan daripada penipuan tersebut," ujarnya.

- MK

No comments: