Monday, 11 July 2016

Hapuskan birokrasi lapuk, mudahkan bantuan kepada gelandangan


Masalah birokrasi lapuk dalam kalangan agensi kerajaan dalam memberi bantuan kepada gelandangan perlu diatasi segera, kata aktivis kemanusiaan.

Rata-rata mereka berpendapat masalah itu telah lama menghantui golongan berkenaan sehingga ada yang terpaksa mengemis dan meminta sedekah kerana terlalu lama menunggu bantuan tiba.

Penaung Persatuan Belia Nur Kasih, Senator Shahanim Mohd Yusof berkata birokrasi merupakan masalah paling utama dihadapi golongan gelandangan untuk cuba mengubah kehidupan mereka.

Beliau berkata sepanjang aktiviti pihaknya bersama golongan gelandangan, mereka mengadu bantuan sukar diperoleh daripada pihak berwajib kerana masalah seperti tiada alamat tetap, tidak mempunyai pekerjaan, tiada dokumen pengenalan diri, dokumen perkahwinan dan cerai serta sebagainya.

"Kalau ada permohonan daripada mereka, badan berkaitan seperti zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat jangan tolak terus. Turun siasat, jangan tengok kertas permohonan sahaja, pergi tengok dekat mana mereka tidur.

"Janganlah semata-mata kerja sampai pukul 5 sahaja. Cuba datang waktu malam dan tengok golongan gelandangan. Apa guna bangunan pencakar langit tetapi di bawahnya bersepah dengan gelandangan," katanya kepada Bernama.

Senada dengannya, Setiausaha Pertubuhan Kemanusiaan dan Kebajikan Antarabangsa Malaysia (MyWelfare), Nurainie Haziqah Shafi'i berkata agensi berkaitan sepatutnya bekerjasama dan turun padang dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memahami situasi dan masalah dihadapi golongan gelandangan.

"Bila kita berurusan dengan orang yang memerlukan, kurang berkemampuan, mereka ini mempunyai masalah seperti tidak pandai membaca, tiada alamat tetap, kehilangan dokumen persendirian yang penting dan sebagainya.

"Perkara sebegini boleh menyebabkan masalah birokrasi timbul. Matlamatnya, kita mahu menolong, bukan menyusahkan orang yang sudah sememangnya susah," katanya yang sering turun membantu gelandangan di sekitar Masjid Negara.

Nurainie turut berkata jumlah wang zakat yang dikutip harus digunakan sebaik mungkin termasuk untuk membantu gelandangan yang layak.

Seorang lagi aktivis kemanusiaan, Norhelmy Ahmad berkata sepanjang penglibatannya dengan sebuah NGO di Johor Bahru, golongan gelandangan lebih mudah didekati dan diselami permasalahan mereka di waktu malam.

"Di waktu siang, mereka mungkin tiada di 'port' tertentu kerana keluar meminta sedekah malah bekerja dan lain-lain lagi. Seharusnya mereka didekati pada malam hari," katanya.

-Bernama

No comments: