Friday 29 July 2016

Honda tawar pampasan RM50 sehari lewat ganti beg udara

 honda-pecah
PETALING JAYA: Pemilik kereta Honda yang terlibat dalam panggilan semula penukaran beg udara boleh menuntut RM50 sebagai pampasan “kehilangan penggunaan kereta”.

Honda dalam satu kenyataan semalam meminta pemilik kereta yang terlibat mendaftarkan diri di www.productrecall.honda.com.my bagi menerima pampasan dalam tempoh 28 Julai 2016 hingga 31 Ogos 2016.

“Setibanya alat ganti beg udara pemandu hadapan Takata, pelanggan yang berdaftar dengan Honda Malaysia akan diberitahu dan dinasihatkan untuk menggantikan beg udara dalam dua hari,” katanya.

Honda Malaysia memanggil balik 147,894 unit model jenama itu bagi menggantikan peledak beg udara dengan semua kos penukaran ditanggung oleh pihaknya.

Bagaimanapun, kelewatan alat ganti menyebabkan ramai pengguna mengadu masih tidak mendapatkan temu janji dengan Honda bagi tujuan itu.

Model Honda yang terlibat ialah Accord (keluaran 2003 hingga 2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CRV (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011), dan Odyssey (2004-2008).

Panggilan itu dilakukan susulan beberapa kejadian beg udara meletup sehingga menyebabkan kematian.

Ini termasuk kematian seorang wanita di Kota Damansara pada 26 Jun lalu selepas serpihan besi terpelanting daripada beg udara di stereng keretanya, Honda City, terkena di dadanya.

Ia merupakan insiden keempat pemandu kereta maut melibatkan beg udara pecah atau rosak.

- FMT

No comments: