Thursday 28 July 2016

Kes tembakan di Danau Kota disyaki berkaitan kongsi gelap, along

 shoot-danau-kota-3
PETALING JAYA: Kes tembakan yang berlaku di hadapan pusat beli-belah Setapak Central di Danau Kota petang semalam disyaki ada kaitan dengan kegiatan kumpulan kongsi gelap dan perniagaan along.

Menurut laporan China Press, siasatan awal polis mendapati mangsa pernah terbabit dalam kegiatan kongsi gelap dan sedang menyiasat latar belakang serta perniagaan pinjaman wangnya adalah perniagaan sah atau sebaliknya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, SAC Rusdi Mohd Isa berkata, polis menemui 10 kesan tembakan di kepala, dada dan paha mangsa.

Beliau berkata, sebelum kejadian, mangsa berhasrat membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat itu untuk minum petang di pusat beli-belah Setapak Central.

Katanya, mangsa mempunyai rekod tangkapan pada 2014 dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti motif kejadian.

The Star Online melaporkan mangsa adalah seorang pemberi pinjaman wang yang berusia 43 tahun dan mempunyai tiga anak.

Lelaki itu maut serta-merta dalam kejadian 3.35 petang itu yang menyaksikan 18 das tembakan dilepaskan dua penembak yang merupakan pembonceng dua motosikal.

Sementara itu, seorang rakan mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa yang ditembak maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Taman Ibu Kota/Jalan Genting Klang semalam baru dua minggu membeli kereta baharu, selepas mendapati ada pihak mengekorinya.

Menurutnya, mangsa yang menjalankan perniagaan itu sejak kira-kira 10 tahun lalu menggunakan Toyota Camry sebelum ini.

“Baru dua minggu dia beli kereta baharu jenis Honda Accord. Dia tukar kereta selepas mendapati ada pihak tertentu memantau pergerakannya.

“Saya jumpa mangsa sebulan lepas di sebuah hotel di Jalan Ipoh dan dia tidak mengadu tentang apa-apa masalah (ketika itu). Kelakuan dia seperti biasa,” katanya kepada Bernama.

Seorang saksi kejadian berkata, bunyi tembakan bertalu-talu yang didengari ketika kejadian disangkakannya mercun.

“Saya ingatkan hanya bunyi orang main mercun, tak sangka pula ia datang daripada tembakan bertalu-talu,” kata saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Sazwan.

Menurutnya, ketika itu, beliau dan dua rakan sedang minum petang di gerai berhampiran tempat kejadian, di mana kejadian berlaku begitu pantas dan sejurus selepas itu orang ramai bergegas mengerumuni kereta mangsa.

“Saya terkejut apabila mendekati kereta itu, terdapat banyak kesan tembakan. Saya nampak pemandu kereta seorang lelaki dah terkulai dengan kesan tembakan pada badannya,” katanya sambil menambah tiada penumpang dalam kereta berkenaan.

- Bernama

No comments: