Thursday 28 July 2016

Andaian Zaharie mahu bunuh diri bukan baru, kata pusat pencarian MH370

 Zaharie-Ahmad-Shah
KUALA LUMPUR: Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia berkata laporan baru-baru ini berhubung siasatan FBI ke atas simulator penerbangan di rumah juruterbang pesawat MH370, Zaharie Ahmad Shah, bukanlah baharu dan pernah dilaporkan media sebelum ini.

Laporan siasatan itu mencadangkan Zaharie merancang laluan ke selatan Lautan Hindi dan kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu adalah tindakan bunuh diri yang sengaja dirancang.

“Maklumat simulator menunjukkan hanya kemungkinan perancangan. Ia tidak mendedahkan apa yang berlaku pada malam kehilangan pesawat berkenaan, atau pun di mana pesawat itu dikesan.

“Bagi tujuan menetapkan kawasan pencarian di bawah laut, fakta dan analisis berkaitan paling hampir sepadan dengan senario di mana tidak berlaku campurtangan juruterbang dalam peringkat seterusnya penerbangan itu,” menurut laporan JACC.

Pesawat MH370 bersama 239 orang hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

JACC berkata keterangan terbaik yang diperoleh berhubung lokasi pesawat itu adalah berdasarkan apa yang diketahui daripada komunikasi satelit terakhir dengan pesawat berkenaan.

“Komunikasi satelit terakhir dengan pesawat itu menunjukkan kemungkinan besar ia sedang dalam kadar penurunan yang tinggi di kawasan yang dikenali sebagai lengkok ke-7. Ini sememangnya konsensus Kumpulan Kerja Strategi Pencarian,” menurut laporan itu.

Laporan sebelum ini menyebut Malaysia, China dan Australia akan menangguh dan bukan menamatkan pencarian MH370 yang hilang itu sebaik sahaja selesai meliputi kawasan keutamaan pencarian seluas 120,000 km persegi.

Sehingga kini, pencarian meliputi kawasan lebih 110,000 km persegi.

- Bernama

No comments: