Saturday 23 July 2016

Dr Mahathir yakin ‘Malaysian Official 1′ adalah Najib

PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin ‘Malaysia Official 1′ yang disebut dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, alasan sebahagian pemimpin kerajaan yang mengatakan Najib tidak bersalah kerana nama Perdana Menteri itu tidak disebut dalam siasatan DoJ hanyalah ‘Wishful Thinking’.
“Walapun tidak sebut nama Najib, orang yang ada duit RM681 juta dalam AmBank, semua orang tahu ia Najib. Orang yang berkuasa ke atas 1MDB, semua tahu itu Najib.
“Semua perkara yang dikaitkan dalam konteks ‘Malaysian Official One’ dengan Najib didapati sama. Ini memang Najib. Saya tidak tahu kenapa tak sebut sahaja nama Najib.
“Dia sebut nama orang lain bukan Najib. Jadi Najib dan pihak yang menyokongnya berpendapat kononya nama dia tidak disebut, maka dia tak bersalah, ini namanya ‘Wishful thinking’,” katanya kepada FMT di Majlis Raya ISMA.
Rabu lalu, Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dengan kerjasama DoJ Amerika Syarikat mengemukakan saman sivil untuk menyita lebih AS$1 bilion aset didakwa diperolehi melalui dana 1MDB.
Dalam saman itu, AS$731 juta dana 1MDB didakwa mengalir ke akaun bank rasmi ‘Malaysian Official 1′ (MO1).
Laporan itu juga mendedahkan tokoh (MO1) itu sebagai “pegawai berpangkat tinggi dalam kerajaan Malaysia yang juga mempunyai kedudukan berkuasa dalam 1MDB”.
Dalam pada itu, Dr Mahathir juga menyatakan kesediaannya untuk berdebat dengan Najib berhubung skandal 1MDB.
Bagaimanapun, Dr Mahathir meletakkan syarat agar debat itu dibuat di hadapan khalayak dan disiarkan di saluran televisyen umum untuk disaksikan oleh seluruh rakyat negara ini.
“Saya nak perbahasan dengan dia (Najib) di atas pentas dirakam di televisyen. Kalau dia sanggup, saya boleh jumpa dan bahas soal 1MDB depan orang ramai,” katanya.
Dr Mahathir juga mencabar untuk berdebat dengan pihak yang melabelkan beliau ‘nyanyuk’ berhubung campur tangannya dalam isu 1MDB.
“Dia kata saya nyanyuk. Nak kata saya nyanyuk katalah. Tetapi kalau nak berbahas, saya sanggup berhadapan dengan mana-mana pihak yang kata saya nyayuk.
“Biar kita tengok siapa yang nyanyuk. Jadi kononya saya dah nyayuk tak boleh ambil bahagian, ini negara saya saya rakyat dalam negara ini, saya ada hak,” tegasnya.
- FMT

No comments: