Tuesday 26 July 2016

JPJ janji semak aduan terhadap anggota

Nadzri-Siron-jpj-eaic-1 
PETALING JAYA: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Nadzri Siron memberi jaminan pihaknya akan menyemak data yang diberikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung kegagalan jabatan bertindak keatas anggota yang melakukan kesalahan.

Nadzri menjelaskan JPJ mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) tersendiri yang menetapkan anggota perlu menjawab sebarang aduan dalam masa 14 hari waktu bekerja.

“Seperti yang ditetapkan dibawah perintah am, tindakan diambil sekiranya anggota didapati bersalah. Aduan juga didokumenkan,” katanya kepada FMT.

Beliau menjawab Pengerusi EAIC Datuk Yaacob Md Sam yang berkata badan-badan penguatkuasaan, termasuk JPJ dan polis, gagal memberikan penjelasan untuk 90% aduan yang diterima daripada orang awam terhadap anggota mereka yang melakukan kesalahan.

Yaacob menambah dalam banyak kes anggota terbabit dikenakan hukuman yang tidak setimpal dengan kesalahan. Beliau turut mengeluh pertanyaan daripada suruhanjaya disambut dengan kebisuan setiap kali badan-badan itu disoal mengenai kegagalan mengambil tindakan atau pengenaan hukuman ringan.

Yaacob memberitahu FMT bahawa terdapat pegawai dalam badan-badan penguatkuasaan, termasuk JPJ, mengambil masa lapan hingga 10 bulan untuk menyelesaikan satu siasatan mudah.

Tiada penjelasan diberikan apabila ditanya mengenai kelewatan itu, tambahnya.

Beliau menambah adakalanya berlaku pelanggaran SOP tetapi pegawai berkenaan tidak ditegur secepat yang diperlukan.

Nadzri menjelaskan tindakan hanya dikenakan sekiranya aduan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), biro aduan jabatan-jabatan lain atau orang awam.

“Kami akan mula bertindak menurut undang-undang selepas menerima aduan,” kata Ketua Pengarah JPJ itu.

Bagaimanapun, oleh kerana EAIC sudah membangkitkan isu ini, Nadzri beri jaminan beliau akan meminta unit aduan JPJ menyerahkan data terkini kepadanya.

“Saya akan periksa dengan mereka jumlah aduan yang diterima dan jenis hukuman yang dikenakan, atau berapa lama masa diambil.”

- FMT

No comments: