Friday 29 July 2016

MT juga harap Pemuda Umno buktikan 'komplot' 3 Tan Sri

 
Pemuda Umno perlu bersedia dengan bukti kukuh apabila membuat laporan polis mendakwa tiga individu berprofil tinggi terlibat dalam konspirasi menjatuhkan perdana menteri.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata bukti tersebut perlu agar dakwaan tersebut tidak dianggap pertuduhan tidak baik ke atas mereka.

“Kalau Pemuda Umno buat laporan begitu, mereka mesti bersedia dengan bukti-bukti yang kukuh supaya ia tidak dianggap membuat pertuduhan yang tidak baik,’ kata Tajuddin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis rumah terbuka Wanita Umno di Dewan Merdeka, PWTC hari ini.
Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun sebelum ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mereka didakwa terlibat dalam konspirasi menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak dengan menyalurkan maklumat dalaman kepada agensi asing, termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, Tajuddin, yang juga menteri Pertanian dan Asas Tani, percaya apa pun dakwaan dilemparkan, kepada ketiga-tiga individu itu mereka pasti akan bersiap sedia dengan peguam masing-masing.

“Saya juga percaya individu berkenaan akan pertahankan diri. Mereka akan guna pakar-pakar guaman.

“Saya tak akan kata betul atau tak betul,” kata anggota Parlimen Pasir Salak itu.

Saleh: Biar polis siasat

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saleh Said Keruak menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“IGP (ketua polis negara) telah buat kenyataan dan saya tak ingin tokok tambah.

“Biarlah pihak polis buat siasatan kerana seperti mana yang telah dijelaskan IGP ia akan memanggil dulu naib ketua Pemuda Umno, jadi biarlah polis ambil tindakan susulan ke atas beliau,” kata Salleh.

Pemimpin nombor satu pasukan keselamatan Tan Sri Khalid Abu Bakar semalam berkata beliau dimaklumkan polis akan merakam kenyataan Khairul Azwan hari ini.

Terdahulu Najib yang juga presiden Umno segak berbaju Melayu ungu menghadiri majlis rumah terbuka itu di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Majlis yang berlangsung sekitar jam 10.00 pagi itu dihadiri pelbagai lapisan masyarakat serta barisan kepimpinan kerajaan.

Majlis juga turut diserikan dengan persembahan artis tempatan bagi memeriahkan suasana.

- MK

No comments: