Polis tidak akan membenarkan sebarang penganjuran perhimpunan jalanan
mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berundur susulan saman
sivil berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan perkara itu dan
berkata negara ini mempunyai peraturan yang perlu dipatuhi.
“Jika mereka (Bersih 5.0) merancang untuk pergi ke jalanan desak perdana menteri letak jawatan, itu tidak betul.
“Kita tidak benarkan kerana ada cara lain untuk meminta perdana menteri
berundur mengikut undang-undang,” katanya pada sidang media di Pulapol
hari ini.
Khalid bagaimanapun berkata, mana-mana pihak termasuk Bersih 5.0 berhak
untuk mengadakan perhimpunan kerana undang-undang membenarkan mereka
berbuat demikian asalkan tidak bertentangan dengan Akta Perhimpunan
Aman.
“Akta Perhimpunan Aman membenarkan perhimpunan diadakan tetapi hendaklah
mengikut undang-undang itu. Jika perhimpunan dibuat tidak mengikut
peruntukan kita tidak akan benarkan,” katanya.
Terdahulu, Pengerusi badan reformasi pilihan raya Bersih Maria Chin
Abdullah mengesahkan satu perhimpunan sedang dirancang susulan
perkembangan terbaru dengan saman sivil berkaitan 1MDB di Amerika
Syarikat serta tindakan Jabatan Keadilan (DoJ) AS yang mahu merampas
aset dibeli dengan dana didakwa dipesongkan daripada 1MDB.
Katanya, sekarang masa yang tepat untuk satu lagi perhimpunan diadakan, tetapi ia masih di peringkat perbincangan.
- SK
No comments:
Post a Comment